Skip to main
Logo Malaysiakini

Perbandingan harga telur oleh Najib tak berasas - Jabatan Veterinar

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Jabatan Perkhidmatan veterinar menyifatkan perbandingan yang dibuat oleh  bekas Perdana Menteri Najib Razak mengenai harga telur sebagai tidak berasas.

Najib menerusi hantaran di Facebooknya semalam membandingkan harga telur ayam gred AAA, gred C dan Gred E dengan bulan April 2018 yang harganya dikatakan masih tinggi sekitar 48 hingga 52 peratus.

Menurut Najib harga telur sekarang masih 40 sen untuk gred AAA, 37 sen untuk gred C dan Gred E 32 sen.

Katanya sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu harga telur di ladang bagi gred AAA adalah serendah 27 sen, gred C berharga 24 sen dan gred E berharga 21 sen.

Beliau merujuk kepada pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub hujung tahun lalu bahawa pengeluar telur ayam bersetuju mengurangkan harga sebanyak 2 sen.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagaimanapun berkata harga telur di peringkat ladang bergantung kepada kos input iaitu makanan ayam, gaji pekerja, kos ubatan dan lain-lain.

"Bagaimanapun kos ini boleh dan akan berubah jika ada kejadian penyakit dan bencana lain seperti kemarau, jerebu dan banjir.

"Ini bermakna harga boleh turun dan naik bergantung pada keadaan dan masa. Contohnya 70 peratus kos operasi bergantung kepada makanan ayam. Makanan ayam diimport dan harganya bergantung pada kadaran tukaran wang yang turun dan naik," jelasnya.

Sebagai contoh, jabatan itu berkata harga telur bagi tahun ini adalah lebih murah berbanding awal tahun 2015.

"Apa yang berlaku pada tahun 2015? Mengapa harga telur lebih mahal?

"Penggunaan maklumat serta data dan membuat perbandingan tidak berasas akan mengelirukan pihak umum dan perkara ini harus dielakkan," katanya.

Jabatan veterinar berkata faktor pengeluaran dan kos input banyak bergantung kepada faktor luaran.

"Jabatan melalui Kementerian (Pertanian dan Industri Asas Tani) akan terus berusaha untuk memastikan penghasilan telur ayam yang cukup untuk rakyat Malaysia dengan harga yang kompetitif," katanya.