Skip to main
Logo Malaysiakini

Bono, Rosmah dinamakan pemegang amanah yayasan perintis 1MDB

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

KES 1MDB NAJIB | Penyanyi Irish, Bono dan Ratu Rania dari Jordan adalah antara nama dicadang sebagai anggota lembaga pemegang amanah Yayasan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang merupakan perintis kepada 1MDB.

Perkara itu diberitahu dalam perbicaraan terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Peguam utama, Muhammad Shafee Abdullah, ketika menyoal balas saksi pendakwaan, Amhari Efendi Nazaruddin membangkitkan dokumen berkaitan penubuhan TIA dan yayasannya.

Muhammad berkata, dokumen itu menunjukkan bahawa Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, yang pada tahun 2009 merupakan Yang Di-Pertuan Agong, adalah pengerusi Yayasan TIA.

Beliau berkata dokumen itu juga menyebut tentang individu lain sebagai ahli berpotensi untuk menjadi ahli lembaga pemegang amanah Yayasan TIA termasuk Permaisuri Rania dari Jordan dan isteri Perdana Menteri ketika itu, Rosmah Masnsor.

"Apa kaitan Bono dengan lembaga pemegang amanah yayasan TIA? Kamu tidak pernah melihat ini?" soal Shafee.

Bagaimanapun, Amhari yang hadir semasa mesyuarat awal penubuhan TIA, berkata beliau tidak ingat senarai itu.

Shafee juga menyoal Amhari mengenai cadangan lembaga penasihat TIA, di mana nama-nama besar juga disebut.

Antaranya ialah bekas Timbalan Perdana Menteri Kuwait Mohammad Sabah Al-Salem Al-Sabah, bekas Ketua Pegawai Eksekutif ExxonMobil Lee Raymond, bekas ketua pegawai eksekutif Walt Disney Michael Eisner dan Ketua Eksekutif Loius Vuitton, Bernard Arnault.

"Adakah kamu tahu bagaimana nama-nama ini datang? Siapa cadangkan?" Soal Shafee.

Amhari berkata senarai itu disediakan oleh ahli perniagaan Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, dalam satu mesyuarat rahsia mereka.

Bagaimanapun, Amhari berkata beliau tidak tahu jika mereka akhirnya dilantik.

Shafee: Saya mencadangkan kepada kamu, nama-nama ini telah dimasukkan oleh Jho Low untuk menarik perhatian kerajaan negeri dan persekutuan, walaupun, pada hakikatnya, ia tidak berlaku.

Amhari: Saya tidak tahu.

Shafee: Saya katakan kepada kamu, pada hakikatnya, selebriti ini tidak tahu nama-nama mereka disebut.

Amhari: Saya tidak tahu.

Shafee: Adakah kamu tahu...Saya pasti kamu agak terkejut dengan beberapa orang-orang yang dikatakan ini?

Amhari: Saya hanya boleh ingat Bernard Arnault tetapi saya tidak bertanya lanjut.

TIA pada mulanya dicadangkan sebagai sebuah entiti Terengganu dengan sokongan daripada kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, kerajaan Terengganu menarik diri selepas menghidu sesuatu yang tidak kena dan TIA diambil alih oleh Putrajaya sebelum ditukar nama kepada 1MDB.

1MDB juga mempunyai cabang amal yang dikenali sebagai Yayasan 1MDB.

Najib menghadapi 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan dakwaan penyelewengan RM2.28 bilion daripada 1MDB.

Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah.