Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah benarkan Najib jumpa pakar mata

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

KES 1MDB NAJIB l Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan perbicaraan kes Najib Razak membabitkan dana 1MDB dihentikan pada pukul 11.30 pagi bagi membolehkan bekas perdana menteri itu berjumpa doktor pakar berhubung masalah matanya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib supaya perbicaraan yang masuk hari kesembilan dihentikan lebih awal pada prosiding pagi yang biasanya akan tamat pada pukul 1 tengahari.

Hakim Sequerah mengarahkan perbicaraan bersambung semula pada pukul 2 petang.

Terdahulu Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa masalah sakit mata yang dihadapi anak guamnya mungkin disebabkan keadaan jerebu ketika ini.

"Saya memohon mahkamah membenarkan anak guam saya berjumpa doktor untuk pemeriksaan susulan matanya. Simptomnya sama ketika beliau mengalami konjunktivitis. Saya syak ia disebabkan jerebu.

"Beliau perlu menghadiri temu janji di klinik mata kira-kira jam 11 pagi ini," katanya.

Muhammad Shafee berkata selain mata berair, anak guamnya turut berdepan masalah hidung berair dan beliau perlu berjumpa doktor bagi mengelakkannya menjadi lebih teruk.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram mencadangkan agar pemeriksaan balas terhadap saksi kesembilan dilakukan tanpa kehadiran Najib tetapi Muhammad Shafee menjawab bahawa kehadiran anak guamnya diperlukan semasa prosiding mahkamah seperti di negara-negara Komanwel tidak ada peraturan di mana kehadiran tertuduh boleh diketepikan.

Mahkamah kemudian meneruskan dengan mendengar keterangan daripada bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin yang disoal balas Muhammad Shafee.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

- Bernama