Skip to main
Logo Malaysiakini

Hari ke-10: Najib, Jho Low terus berinteraksi

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

LANGSUNG l Perbicaraan bekas perdana menteri, Najib Razak, yang dituduh melakukan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB memasuki hari kelapan hari ini.

Di depan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah, Najib dihadapkan dengan 25 tuduhan membabitkan dana sebanyak RM2.28 bilion.

Sebelum ini anggota parlimen Pekan itu diberikan cuti sakit dua hari atas faktor kesihatan, apabila beliau didapati mengalami konjunktivitis.

Malaysiakini membawakan liputan perbicaraan itu secara langsung.

LANGSUNG

4.40 petang: Prosiding untuk hari ini ditamatkan oleh hakim.

Ia akan disambung semula Isnin depan.

Ketua pendakwaan, Gopal Sri Ram, berkata pihaknya mungkin mempunyai soalan untuk ditanya kepada bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin, pada hari berkenaan.


4.38 petang: Saksi pendakwaan memberitahu mahkamah, Najib Razak terus berinteraksi denga Jho Low walaupun selepas ahli perniagaan buruan polis itu didakwa menipu anak lelaki Yang Dipertua Sarawak, Abdul Taib Mahmud, diketahui umum pada 2009.

Amhari Efendi Nazaruddin menyatakan hal itu ketika disoal ketua pendakwaan, Gopal Sri Ram, yang kelihatan mengambil pendekatan sama digunakan peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah.

Gopal: Telah dinyatakan kepada kamu bahawa ia berada dalam domain awam. Semua orang tahu mengenainya (Jho Low menipu Mahmud Abu Bekir Taib).

Amhari: Saya tak tahu.

Gopal: Berdasarkan soalan yang ditanya kepada kamu oleh sahabat saya yang bijaksana, ia adalah sekitar waktu ini: 2008 atau 2009.

Amhari: Ya.

Gopal: Soalan saya ialah ini: Selepas ia sampai ke pengetahuan umum, adakah tertuduh terus berhubung dengan Jho Low? Selepas 2009. Bahawa dia (Jho Low) seorang penipu, melakukan helan ke atas (anak) Tun Taib Mahmud?

Amhari: Ya.


4.30 petang: Bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy pernah menyuarakan keraguan berkenaan Jho Low kepada Najib Razak, kata Amhari Efendi Nazaruddin.

Menurut bekas pegawai khas Najib itu, ia berlaku ketika mesyuarat di rumah Najib.

Ketika itu, kata Amhari, Arul bertanya kepada Najib sama ada semua kata-kata Jho Low mengandungi kebenaran, termasuklah berkenaan "unit dana".

Amhari meruju kepada apa yang dikatakan sebagai unit dana yang disimpan 1MDB sebagai pelaburan.

Walaupun saksi pendakwaan itu tidak menyatakan bila kejadian itu berlaku, dipercayai mesyuarat di rumah bekas perdana menteri itu berlaku pada 2016, memandangkan Amhari berkata ia dibuat ketika dia ditugaskan untuk berunding dengan International Petroleum Investment Co (IPIC).

Menurut Amhari, Najib hanya mendengar tetapi tidak memberi sebarang reaksi terhadap perkara yang dibangkitkan Arul ketika itu.


Najib ada akses terhadap risikan semua agensi kerajaan - bekas pegawai khas

4.20 petang: Najib Razak mempunyai akses kepada semua maklumat risikan yang dibuat agensi kerajaan ketika menjadi perdana menteri, kata bekas pegawai khasnya Amhari Efendi Nazaruddin.

Dia memberitahu ketua DPP Gopal Sri Ram bahawa Najib ada akses antaranya pada Cawangan Khas polis (SB), risikian tentera dan juga Pejabat Perdana Menteri.

Sri Ram: Ketika tertuduh menjadi PM, apa sumber yang dia ada dari segi maklumat dan risikan?

Amhari: Semua agensi kerajaan, termasuk SB, MIO antau risikan tentera, dan pejabat perdana menteri. Ini yang saya boleh ingat buat masa ini.

Sri Ram: Adakah dia (Najib) ada akses terhadap SPRM?

Amhari: Ya.

Sri Ram: Berdasarkan pengalaman anda bekerja dengan tertuduh selaku PM, dia ada terima taklimat (risikan)?

Amhari: Saya tidak pasti kekerapannya tetapi sebagai PM, dia terima semua kemas kini risikan.


Saksi: Saya tak pernah ambil wang AS$800,000 dalam BSI

4 petang: Amhari Efendi Nazaruddin berkata dia tak pernah ambil wang berjumlah AS$800,000 yang dimasukkan ke akaun Bank BSI Singapura yang didaftarkan atas namanya, yang dibuka atas arahan Jho Low.

Amhari berkata dia juga tidak tahu apa yang berlaku kepada wang dan akaun itu.

Dia berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan ketua DPP Gopal Sri Ram.


Saksi: Jho Low 'ada di sekitar' bila Najib ke New York

3.48 petang: Ahli perniagaan yang kini diburu, Jho Low akan ada berdekatan ketika Najib Razak ada mesyuarat di New york, kata Amhari Efendi Nazaruddin.

Bekas pegawai khas Najib itu berkata, Jho Low akan "ada di sekitar" apabila Najib menjalankan tugas rasminya di sana.

Dia menjawab soalan ketua DPP Gopal Sri Ram berkenaan sama ada Jho Low mengiringi Najib dalam lawatan-lawatan rasmi itu.

Sri Ram: Dalam lawatan ini, Jho Low ada?

Amhari: Pada kebanyakan masa, dia (Jho Low) ada di sekitar ketika Najib ada tugas rasmi. Jho Low akan ada (di sana) pada tarikh-tarikh tersebut, bukan denan PM (Najib) tetapi dia ada di sekitar.

Sri Ram: Anda lihat Jho Low bercampur dengan PM di sana?

Amhari: Saya lihat dia berjumpa PM di sebuah hotel untuk satu temujanji.


Saksi: Hubungan Sultan Mizan dengan Jho Low tak tegang, tak juga mesra

3.14 petang: Menurut Amhari Efendi Nazaruddin, hubungan antara Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dengan Jho Low adalah di tengah-tengah - tak tegang ataupun mesra.

Saksi kelapan pendakwaan itu berkata demikian ketika pemeriksaan semula dengan ketua DPP Gopal Sri Ram yang bertanya tentang soal itu.

Perkara itu juga dibangkitkan ketika pemeriksaan balas dengan pembelaan sebelumnya.

Sri Ram: Anda ingat ketika pemeriksaan balas, anda ditanya tentang pertemuan di Istana Terengganu, anda dihantar ke sana dan Jho Low perkenalkan anda?

Amhari: Ya.

Sri Ram: Daripada pemerhatian anda, bagaimana hubungan antara Sultan (Mizan) dengan Jho Low? Tegang (hostile)? Mesra?

Amhari: Barangkali di tengah-tengah. Sultan Mizan terbuka untuk mendengar.

Sri Ram: Apa anda rasa tentang pertemuan itu?

Amhari: Santai, sangat santai. Kami pergi dengan Aziz, mertua Agong ketika itu (Sultan Mizan). Saya jangkakan bilik mesyuarat tetapi ia lebih kepada suasana minum petang.

Terdahulu, mahkamah diberitahu bahawa Istana Terengganu tidak senang dengan Jho Low.

Sultan Mizan menjadi Yang di-Pertuan Agong dari 2006 hingga 2011.

Sultan Mizan Zainal Abidin


Amhari: Ancaman bukan dari Najib, tapi penyokong yang boleh ambil tindakan sendiri

3.07 petang: Amhari Efendi Nazaruddin berkata bukan bekas bosnya, iaitu Najib Razak, yang menjadi ancaman kepada dirinya, tetapi penyokong bekas perdana menteri itu yang mungkin mengambil tindakan sendiri.

Bekas pegawai khas Najib itu berkata demikian kepada ketua DPP Gopal Sri Ram ketika pemeriksaan semula.

Amhari: Saya tak merasakan ancaman daripada Najib, tetapi sebagai perdana menteri, dia ada kuasa yang paling kurang dapat cetuskan sedikit ketidakstabilan. Saya ungkapkan perkara ini secara sopan.

Sri Ram: (Ketidakstabilan) terhadap apa?

Amhari: Dalam 'livelihood' saya. Seorang PM ada segala kuasa untuk berbuat sesuat. Dia ada banyak sokongan. Tidak semestinya dia bekerjasama dengan penyokongnya, tetapi penyokongnya boleh mengambil tindakan sendiri.

Sri Ram: Siapa perdana menteri?

Amhari: Najib.

Amhari berkata dia melihat dirinya sebagai tersekat di tengah-tengah justeru ancaman sentiasa ada.

"Jadi ketika saya ditanya tentang ancaman (ketika prosiding sebelumnya), bagi saya ia tidak penting kerana apa saja jalan yang saya ambil, ancaman akan tetap ada.

"Jadi apa yang saya buat ialah berpandukan agama saya dan memberitahu perkara benar, dan berharap ia akan menyelamatkan saya," katanya.

Ketika Sri Ram bertanya tentang "ancaman dari mana", Amhari berkata ia "boleh datang dari stakeholders (pihak yang terkesan) dalam perbicaraan ini, tanpa mengira siapa mereka dan dari kumpulan mana".


Saksi nafi SPRM tawar habuan untuk salahkan Najib

3 petang: Amhari Efendi Nazaruddin menyangkal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggunakan pendekatan "carrot and stick" (tawaran habuan dan juga hukuman) untuk memaksanya mempersalahkan Najib.

Bekas pegawai khas Najib itu berkata demikian ketika ditanya ketua DPP Gopal Sri Ram.

Terdahulu, pasukan pembelaan cuba menunjukkan Amhari diletakkan dalam tekanan untuk memberi bukti terhadap Najib.


Saksi tak maklum kedutaan ketika ke Abu Dhabi

2.52 petang: Bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin berkata dia tidak memaklumkan kedutaan Malaysia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika berkunjung ke Abu Dhabi.

Ketika pemeriksaan semula dengan ketua DPP Gopal Sri Ram, Amhari berkata ini kerana keberadaannya di sana untuk misi khas yang dipertanggungjawabkan kepadanya oleh Najib.

Dia berkata demikian ketika ditanya tentang sebabnya tidak memberitahu kedutaan Malaysia ketika berada di Abu Dhabi untuk membincangkan penyelesaian isu berkaitan 1MDB.

Sri Ram: Ketika anda ke Abu Dhabi, anda tahu kita ada kedutaan di sana?

Amhari: Saya rasa tahu.

Sri Ram: Ada hubungi kedutaan di Abu Dhabi?

Amhari: Tidak.

Sri Ram: Mengapa?

Amhari: Saya melihatnya sebagai misi khas yang Najib minta saya lakukan.

Gopal Sri Ram


Saksi: Najib tanya sama ada Jho Low mampu dapatkan projek dengan China

2.45pm: Mahkamah diberitahu bahawa Najib pada 2016 memeriksa dengan pegawai khasnya ketika itu, Amhari Efendi Nazaruddin, sama ada perbincangan projek bersama China yang dikendalikan Jho Low benar-benar ada berlaku.

Ketika pemeriksaan semula dengan ketua DPP Gopal Sri Ram, Amhari yang menjadi saksi kelapan pendakwaan berkata, ketika itu dia memberitahu Najib bahawa memang ada projek yang dibincangkan di China.

Amhari berkata perkara itu berlaku selepas kepulangannya dari China dan Abu Dhabi, ketika menyerahkan laporan yang disediakan Jho Low kepada Najib.

"Dia ada tanya saya tentang Jho Low, jika semua 'real' (memang berlaku) di sana... (soalannya) sampai tahap sama ada ia real di sana.

"Dan saya kata Jho Low di sana (China) dan projek yang sebenarnya sedang dibincangkan," katanya.

Amhari kemudian menjelaskan bahawa Najib cuba mengesahkan "sama ada Jho Low benar-benar boleh mendapatkan projek" dari negara itu.


2.37 petang: Perbicaraan bersambung dengan ketua DPP Gopal Sri Ram membuat pemeriksaan semula dengan Amhari Efendi Nazaruddin.


Pendakwaan ambil alih pemeriksaan dengan Amhari

1 tengah hari: Pasukan pembelaan menamatkan pemeriksaan balas dengan bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin.

Ketua DPP Gopal Sri Ram kemudiam mengambil alih pemeriksaan untuk bertanya beberapa soalan kepada Amhari berkenaan emel daripada Jho Low pada 2015.

Gopal kemudian memberitahu mahkamah dia ingin bertanya soalan berkenaan perkara lain kepada saksi pendakwaan itu.

Mahkamah berhenti untuk rehat tengah hari dan akan bersambung semula pada jam 2.30 petang.


Saksi tak setuju diletakkan dalam kem Jho Low

12.40 tengah hari: Amhari Efendi Nazaruddin memberitahu mahkamah emel daripada Jho Low pada 22 April 2015 menyatakan bahawa Najib Razak - perdana menteri ketika itu - perlu mengikut pelan ahli perniagaan itu untuk menyelesaikan isu 1MDB.

Ia untuk Najib menggunakan idea Jho Low dan bukannya Arul Kanda Kandasamy yang merupakan CEO pada masa itu.

Amhari bagaimanapun tidak setuju perkara itu meletakkannya di pihak Jho Low, bukannya Arul Kanda.

Arul Kanda


Pembelaan: Amhari pemilik tunggal syarikat Aabar palsu

12.20 tengah hari: Pasukan pembelaan Najib Razak membangkitkan soal Aabar Investment PJS Ltd kepada Amhari Efendi Nazaruddin, dengan sijil syarikat yang didakwa menunjukkan bekas pegawai khas Najib itu sebagai pemilik tunggal syarikat itu.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah menyatakan kepada Amhari bahawa dia memiliki syarikat itu, yang disifatkan Shafee sebagai 'Aabar palsu', melalui Tycoon Gain Ltd, yang juga memiliki Aerospehere Ltd.

Ketika perbicaraan sebelum ini, telah disebut bahawa Aerosphere ialah syarikat Amhari yang digunakannya untuk membuka akaun di Bank BSI Singapura di bawah arahan Jho Low.

Saksi pendakwaan itu bagaimanapun menafikan tahu tentang perkara itu.

Shafee: Saya katakan kepada anda, memandangkan Aerosphere adalah milik Tycoon Gain Ltd, (dan) Aabar Investments PJS Ltd dimiliki oleh syarikat sama, bermakna anda adalah pemilik Aerosphere Ltd dan juga Aabar Investments PJS Ltd.

Amhari: Saya tak tahu perkara ini.

Amhari juga setuju yang dokumen menunjukkan Tycoon Gain dan Aerosphere Ltd menggunakan pejabat sama, kerana memiliki alamat sama.

Shafee kemudian memberitahu Amhari bahawa dia menutup maklumat berkenaan pemilikan Aabar palsu daripada SPRM dan mahkamah kerana mahu menutup peranannya dalam skandal 1MDB.

Amhari bagaimanapun tidak setuju dengan kenyataan itu.


Saksi: Najib membisu bila diberitahu projek M'sia-China untuk bail out 1MDB

12 tengah hari: Bekas perdana menteri Najib Razak tidak berkata apa-apa apabila diberitahu projek usaha sama Malaysia-China seperti Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) adalah untuk 'bail out' 1MDB, dakwa bekas pegawai khasnya Amhari Efendi Nazaruddin.

Saksi pendakwaan kelapan itu berkata, dia memberitahu Najib bahawa cadangan projek Malaysia-China pada 2016, termasuk ECRL, adalah untuk membayar hutang 1MDB.

Menurut Amhari, dia merasakan sebahagian daripada jawapan dan maklumat yang dibekalkan Jho Low kepadanya untuk perbincangan di China pada 2016, yang menyatakan projek itu untuk 'bail out' 1MDB, sebagai salah di sisi undang-undang.

Amhari: Saya beritahu Najib bahawa ini untuk bayar hutang 1MDB.

Shafee: Anda bangkitkannya dalam memo?

Amhari: Tidak.

Shafee: Apa yang dia (Najib) kata?

Amhari: Dia tak kata apa-apa.

Shafee: Ini adalah kata-kata anda sendiri dan itu saja, hanya kata-kata anda, seorang saksi yang tidak sepenuhnya (bebas daripada) kesalahan (berkaitan kes itu), seorang saksi penuh warna (colorful).


Pihak pembelaan akan mohon mahkamah tolak sebahagian keterangan Amhari

11.30 pagi: Ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah bahawa pihaknya merancang untuk membuat permohonan agar sebahagian keterangan Amhari Efendi Nazaruddin ditolak sebagai khabar angin.

Menurut Shafee, itulah sebabnya dia tidak mengemukakan soalan terhadap bekas pegawai khas Najib itu untuk beberapa bahagian dalam pernyataan bertulisnya.

"Itu semua khabar angin dan perlu ditolak.

"Dia (Amhari) membuat jangkaan tanpa berdasarkan apa-apa," kata Shafee.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memberitahu Shafee untuk menghantar penghujahannya berkenaan perkara itu di akhir kes pendakwaan.


11 pagi: Mahkamah berhenti rehat selama 15 minit.


Amhari: Najib mungkin dimanipulasi Jho Low

10.45 pagi: Ahli perniagaan Jho Low mungkin telah memanipulasi bekas perdana menteri Najib Razak dalam soal 1MDB, kata bekas pegawai khasnya Amhari Efendi Nazaruddin.

Dia setuju dengan kenyataan peguam Muhammad Shafee Abdullah berkenaan perkara itu ketika pemeriksaan balas.

Shafee: Perdana menteri anda sendiri dimanipulasi Jho Low?

Amhari: Saya setuju.

Shafee: Anda setuju Jho Low mungkin manipulasi PM (Najib)?

Amhari: Ada kemungkinan.

Amhari juga setuju dengan Shafee bahawa bahagian pernyataan bertulisnya yang menyifatkan Jho Low sebagai "master manipulator" hanya merujuk kepada ahli perniagaan itu dan bukannya Najib.


Amhari: Saya tak kerjasama dengan SPRM agar dilepaskan

10.35 pagi: Amhari Efendi Nazaruddin membantah kenyataan pihak pembelaan bahawa dia memberi kerjasama kepada SPRM untuk mengelak berdepan dakwaan jenayah di mahkamah.

Ia selepas peguam Muhammad Shafee Abdullah memberitahunya bahawa dia setuju untuk menyabitkan bekas bosnya untuk membebaskan dirinya daripada kesalahan yang dibuat.

Shafee: Apabila ditahan dan disoal siasat, anda buat keputusan untuk bekerjasama dengan SPRM dengan harapan masalah anda sendiri, siasatan terhadap anda, akan dilayan secara lebih ringan. Malah anda belum didakwa untuk kesalahan yang anda lakukan.

Amhari: Saya tak setuju.

Terdahulu, saksi pendakwaan itu setuju dengan Shafee bahawa dia menyimpan dokumen berkaitan 1MDB dalam satu kotak di rumah sepupunya.

Bagaimanapun dia tidak setuju bahawa perbuatan itu, termasuk menyimpan dokumen yang telah diarah Jho Low agar dimusnahkan, agar ia boleh digunakan pada masa depan.


Saksi: Ketua pegawai Pejabat Perdana Menteri arah dokumen dimusnah menjelang PRU14

10.27 pagi: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu ketua pegawai (chief of staff) Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan arahan agar dokumen yang disimpan di beberapa lokasi dimusnahkan menjelang PRU ke-14.

Bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Ia selepas Shafee bertanya Amhari mengapa banyak dokumen, yang dirampas SPRM susulan penahanan Amhari pada Jun 2018, berada di rumah sepupunya.

"Ia ketika menjelang pilihan raya (PRU ke-14), ada arahan daripada chief of staff untuk musnahkan semua dokumen yang perlu dimusnahkan, dan failkan (dokumen) ketika perlu dan berikan semula kepadanya.

"Setiap orang ada dokumen masing-masing dan diberitahu untuk menyimpan dokumen yang amat penting agar boleh gunakan sebahagiannya selepas PRU.

"Itulah arahannya. Pada masa itu, saya sangat sibuk kerana turut terlibat dalam kempen pilihan raya," katanya.

Dia juga membantah kenyataan Shafee bahawa dia menyimpan dokumen itu sebagai "insurans" terhadap Jho Low, yang dia didakwa bekerjasama sejak 2007.


10 pagi: Bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin berkata dia dibawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika menjalankan penggeledahan di tiga rumah pada Jun tahun lalu.

Ia termasuklah rumahnya sendiri di Kota Damansara.

Menurut keterangannya, penyiasat SPRM ke rumahnya pada 24 Jun sebelum menggeledah sebuah apartmen di Persiaran Tropicana keesokannya.

Dia berkata apartmen itu bukan miliknya.

SPRM turut menggeledah sebuah lagi unit kondominium di 3 Jalan Kia Peng selepas itu.

Mahkamah diberitahu SPRM mengambil sejumlah dokumen, dua telefon Blackberry, dan beberapa komputer dari rumah Amhari.


9.36 pagi: Najib masuk ke kandang tertuduh. Perbicaraan bermula dengan sambungan pemeriksaan balas terhadap bekas pegawai khasnya, Amhari Efendi Nazaruddin.


9.31 pagi: Tertuduh Najib Razak masuk ke mahkamah dan duduk untuk menunggu perbicaraan bermula.


Turut ada ialah ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah dan para peguam lain, serta ketua timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram dan pasukannya.

Hari kesepuluh perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak berhubung dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion mungkin menyaksikan bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi dipanggil sebagai saksi pendakwaan kesembilan.

Ia selepas peguam Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan mahkamah semalam bahawa beliau mungkin memerlukan hanya dua jam lagi untuk menyoal balas bekas pegawai Najib, Amhari Efendi Nazaruddin, yang merupakan saksi kelapan.

Shahrol Azral menjadi CEO 1MDB pada 2009 hingga 2013, sebelum dipindahkan ke Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

Difahamkan jika Shahrol Azral dipanggil untuk pemeriksaan utama hari ini, pernyataan bertulisnya akan lebih panjang berbanding pernyataan Amhari.

Justeru perbicaraan untuk beberapa hari seterusnya ini dijangka melibatkannya.