Skip to main
Logo Malaysiakini

Sime Darby sokong undang-undang hukum syarikat buat pembakaran terbuka

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Sime Darby Plantation (SDP) mengalu-alukan pelaksanaan undang-undang untuk menghukum pihak yang membuat pembakaran terbuka termasuk terhadap yang berada di luar Malaysia.

"Dasar Pembakaran Sifar telah menjadi ciri utama operasi perniagaan global Sime Darby Plantation (SDP) selama lebih daripada tiga dekad.

"SDP mematuhi dasar ini dan akan terus berbuat demikian kerana kami percaya ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan buat planet kita," kata syarikat itu dalam kenyataan media hari ini.

Kenyataan itu hadir selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia mungkin perlu menimbangkan undang-undang baru untuk membendung pembakaran terbuka yang dipercayai merupakan punca jerebu yang menjejaskan banyak kawasan di Malaysia ketika ini.

Semalam, Mahathir berkata bahawa kerajaan boleh meluluskan undang-undang untuk mendakwa syarikat perladangan Malaysia yang didapati menyebabkan pembakaran termasuk yang berada di luar Malaysia.

Mahathir berkata undang-undang itu akan digunakan terhadap syarikat-syarikat yang gagal memadamkan kebakaran hutan dan bertanggungjawab terhadap jerebu.

"Kita akan meminta mereka (syarikat Malaysia di luar negara) mengambil tindakan untuk memadamkan kebakaran, tetapi sudah tentu jika kita mendapati mereka tidak mahu mengambil tindakan (memadamkan kebakaran), kita mungkin perlu meluluskan undang-undang untuk membuat mereka bertanggungjawab terhadap pembakaran di atas tanah mereka, walaupun di luar Malaysia," katanya.

SDP berkata ia mengalu-alukan sebarang tindakan positif oleh kerajaan Malaysia untuk memastikan dan mengukuhkan amalan lestari dan bertanggungjawab syarikat-syarikat Malaysia, di dalam dan di luar negara.

"Ini akan terus menunjukkan komitmen serius negara kita untuk mengambil tindakan dan menjadi sebahagian daripada penyelesaian untuk menyelesaikan isu-isu alam sekitar secara global," tambahnya.

Kerajaan Indonesia sebelum ini menamakan empat syarikat Malaysia yang bertanggungjawab terhadap kebakaran hutan di negara mereka.

Empat syarikat itu ialah SDP, IOI Corporation, TDM Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Group.

Menteri Alam Sekitar Indonesia, Siti Nurbaya Bakar sebelum ini berkata pihak berkuasa Indonesia telah menutup tanah milik anak syarikat dari empat syarikat itu iaitu Sime Indo Agro (unit Sime Darby Plantation), Sukses Karya Sawit (unit IOI Corporation) , Rafi Kamajaya Abadi ( unit TDM Bhd) dan Ladang Adei dan Perindustrian Adei (unit Kuala Lumpur Kepong Group).

Susulan itu, SDP menafikan perladangan PT Sime Indo Agro mereka ditutup dan menegaskan bahawa syarikat mereka mengamalkan Dasar Pembakaran Sifar.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, empat syarikat itu belum mengemukakan laporan penuh mengenai keadaan berkenaan, lapor BFM.

Bagaimanapun, Kok berkata berdasarkan rekod kementerian itu, kesemua empat syarikat itu mengamalkan kaedah penanaman kelapa sawit lestari.

Beliau menambah bahawa mana-mana syarikat didapati melakukan pembakaran terbuka berisiko kehilangan pensijilan MSPO mereka, dan Malaysia tidak akan mempertahankan mana-mana syarikat yang didapati melanggar undang-undang Indonesia.