Skip to main
Logo Malaysiakini

MB: Penduduk enggan pindah, Paya Jaras banjir berkali-kali

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Keengganan penduduk untuk berpindah dari kediaman yang dibina secara haram atas tanah rizab Selangor di kawasan Sungai Kedondong, menyebabkan kawasan di sekitar Paya Jaras dilanda banjir beberapa kali.

Perkara itu didedahkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari ketika mengulas tentang perobohan beberapa puluh rumah di kawasan tersebut untuk memberi laluan kepada pelebaran Sungai Kedondong di Paya Jaras Hilir sebagai langkah mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku.

“Kesannya, Paya Jaras saya ingat dah dua ke tiga kali banjir dalam tempoh satu setengah tahun ke belakang. Ribuan (orang) mendapat kesan langsung dan tidak langsung (daripada banjir itu)," katanya.

Menurut Adun Sungai Tua itu, orang ramai perlu memahami konteks dan isu berkenaan secara keseluruhan.

Katanya kerajaan negeri tidak bertindak zalim atau sewenang-wenangnya sebelum melakukan perobohan tersebut kerana masa yang lebih daripada mencukupi diberikan kepada penduduk terbabit.

Amirudin berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Akademi Kepemimpinan Wanita Selangor di Shah Alam hari ini.

Akibat penangguhan itu juga, tambah Amirudin, setiausaha kerajaan negeri Selangor telah dua kali dipanggil oleh Jabatan Audit Negara apabila projek terbaabit tidak dapat diteruskan.

Bahan binaan terbiar, rosak

Katanya kekangan utama ialah kerana penduduk berkenaan - terutama yang mendiami plot C dan D - tidak keluar sekali gus tidak membolehkan projek berkenaan diteruskan.

Perobohan rumah di kawasan itu mendapat perhatian PAS melalui Yang Dipertua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad, yang mempertikaikan sikap kerajaan negeri dan mendakwa seolah-olah tidak ada perancangan bagi menguruskan perkara tersebut.

“Rumah mereka yang dirobohkan itu (diduduki) manusia, bukan itik. Kalau itik sekalipun, kalau tuan dia nak halau dia atau nak pindahkan itiknya, dia kena siapkan reban baru,” katanya hari ini.

Wakil penduduk, Azroy Abdul Manaf, mengakui penangguhan perobohan berkuat kuasa pada 5 hingga 16 September, namun meminta “hak kemanusiaan” untuk diberikan tempoh penangguhan lebih lama kepada mereka.

Mengulas lebih terperinci isu sama, Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman, berkata perobohan tersebut dijalankan bagi mengatasi masalah banjir di empat kampung di Paya Jaras.

Bagaimanapun, katanya, projek rancangan tebatan banjir itu tertangguh sejak kira-kira empat tahun lalu, menyebabkan masalah banjir terus dihadapi penduduk Kampung Paya Jaras Hilir, Paya Jaras Dalam, Paya Jaras Tengah dan Paya Jaras Hulu.

Tambahnya, projek yang membabitkan kos RM5.93 juta itu dirancang sejak 2008, bermula pada 2 Disember 2015 dan sepatutnya disiapkan pada 31 Mei 2017.

"Bagaimanapun, sehingga kini ia diberi dua kali lanjutan masa iaitu dari 1 Julai 2017 hingga 25 Julai 2018 dan 26 Julai 2018 hingga 18 Sept lalu,” katanya seperti dipetik Selangorkini.

Katanya lagi, kelewatan itu menyebabkan kerajaan Selangor menanggung rugi RM2,125.02 sehari selain kerugian lain bernilai RM715,574.20 melibatkan bahan binaan yang rosak kerana terbiar.

Sementara itu, ketika disoal pemberita tentang dakwaan Khairuddin bahawa wujud kejadian penduduk yang menyewa rumah haram itu kepada pihak lain, Amirudin turut mengakui perkara tersebut.

“Ah.. (kes) itu banyak.

“Sebenarnya kalau kita turuti, dari zaman YB Zaidi (Zaidy Abdul Talib, sebelum ini exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor) menjadi exco lagi sebelum ini, beliau sendiri turun dapatkan senarai (penduduk).

“Kita hanya ikut proses (flow) itu [...],” katanya lagi.