Skip to main
Logo Malaysiakini

Operasi pembenihan awan di Sarawak bermula esok

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Operasi pembenihan awan di Sarawak akan dilakukan selama dua hari bermula esok menggunakan pesawat udara Charlie 130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Timbalan Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Cawangan Sarawak, Siniarovina Urban Sinyaw, berkata awal pagi esok bancuhan air garam akan dilarutkan ke tangki khas sebelum proses pembenihan awan menggunakan kaedah semburan dilaksanakan pesawat berkenaan.

"Pesawat ini akan berlepas dari Pangkalan TUDM Kuching ke lokasi yang terdapat awan yang sesuai untuk operasi pembenihan awan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata halangan utama kepada proses berkenaan ialah untuk mencari awan bersesuaian.

"Justeru, sebelum operasi pembenihan dilakukan, pihak METMalaysia akan menjalankan analisis data pencerapan seperti radar, satelit dan juga model cuaca bagi menentukan keadaan cuaca semasa yang sesuai untuk operasi pembenihan awan," katanya.

Setakat pukul 8 malam tadi, lima kawasan di Sarawak masih mencatat bacaan indeks pencemaran udara (IPU) sangat tidak sihat dengan Kuching mencatat bacaan tertinggi pada 264, diikuti Sibu (245), Sarikei (240), Samarahan (221) dan Sri Aman (208).

Tiga lagi kawasan mencatat bacaan IPU tidak sihat iaitu Mukah (193), Bintulu (140) dan Samalaju (128).

IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 pula dianggap sederhana, 101 hingga 200 sebagai tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com.

- Bernama