'Polis akan ambil tindakan pada pihak bawa fahaman pengganas'
Polis akan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba membawa fahaman pengganas ke dalam negara, termasuk Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.
Abdul Hamid berkata demikian ketika ditanya berkenaan video tular yang didakwa majlis pro-LTTE yang membabitkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy.
"Ini video lama, saya akan ambil tindakan sewajarnya. Banyak lagi kes, bukan sekadar video ini.
"(Selepas ini) Tiada lagi amaran, saya akan ambil tindakan terhadap apa-apa isu berkaitan hasutan perkauman, keagamaan dan cemar institusi raja...Saya yakin polis akan bertindak adil," katanya pada sidang media selepas lawatan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong di kuarters dan balai polis Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras, Kuala Lumpur hari ini.
Seruan sama pernah dibuat beliau pada bulan lalu.
Terdahulu, mereka turut menghadiri taklimat dan konsultasi berhubung penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC).
Abdul Hamid berkata isu video pro-LTTE sudah pun disiasat dan dibawa ke pihak kementerian.
"Keputusan akan dibuat sedikit masa lagi, sebab jika benar, perbuatan mengagungkan pertubuhan pengganas di luar negara tidak kena dengan negara kita," katanya.
Terdahulu, video dan gambar yang memaparkan Ramasamy dan ahli politik India pro-LTTE V Gopalasamy yang dikatakan diambil dalam satu majlis perkahwinan yang diadakan di Malaysia disebarkan di media sosial.
Ia membangkitkan semula dakwaan kaitan ahli politik DAP dengan kumpulan itu yang dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh beberapa negara.
Bagaimanapun Ramasamy menafikan beliau menyokong kumpulan itu sebaliknya menjelaskan pernah menyertai misi keamanan antara kerajaan Sri Lanka dengan LTTE sekitar 2003 dan 2006, selain misi keamanan di Aceh, Indonesia.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai