Khalid: Jual aset Khazanah macam jual kain baju kita
Apabila kerajaan sudah mula menjual asetnya untuk membayar hutang ia akan memberi gambaran bahawa negara dalam keadaan terdesak maka harga yang ditawarkan pembeli dibimbangi akan jatuh, kata bekas Menteri Besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim
Katanya, keadaan itu seperti kerajaan sudah mula sampai ke tahap menjual kain bajunya.
“Kalau jual aset kerana hendak bayar hutang, atau kerana hendak biayai perbelanjaan operasi yang kita dah buat.
“Ini satu keadaan yang tidak akan menambah harta negara, bermakna kita sudah mula jual kain baju kita,” katanya ketika menjawab satu soalan pada majlis Forum Cabaran Dasar Ekonomi Baru di Era Malaysia Baru di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, Khalid yang juga panelis forum anjuran Puteri Umno Malaysia itu diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan menjual aset Khazanah yang dibidas oleh pemimpin pembangkang termasuk bekas perdana menteri Najib Razak sebagai merugikan negara.
“Apa yang paling saya takut adalah apabila orang tahu syarikat hendak bankrap, harganya akan jatuh, itu sebabnya kita kena berjaga-jaga dalam buat urus niaga.
“Kita tidak boleh tunjukkan kita ghairah sangat hendak jual harta benda, sebabnya kita tidak cukup duit, maknanya orang sudah tahu, kalau orang nak beli sejuta, dia akan tawar hingga RM500,000,” jelasnya.
Menurutnya, tindakan kerajaan menjual aset negara merugikan Malaysia dalam dua perkara.
“Kita kalah dua benda, harta itu sudah tidak ada lagi, dan hutang pula kita terpaksa cari duit lain untuk tambah lagi.
“Ini, kerajaan tidak ada duit, tapi hendak buat pembangunan, dan bagaimana caranya hendak jaga harta supaya jangan dijual pada harga yang tidak sesuai,” katanya lagi.
Pada majlis itu, turut menjadi panelis ialah Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan bekas Menteri Kewangan Abdul Johari Ghani.
Untuk rekod, Najib mengkritik langkah kerajaan berhubung pelupusan aset oleh Khazanah baru-baru ini termasuk menjual Pusat Perubatan Prince Court di ibu negara.
Khazanah mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.3 bilion pada 2018 yang kebanyakannya disebabkan kos melibatkan Malaysia Airlines Bhd (MAS).
Pada awal tahun ini, lembaga Khazanah telah memberi mandat baru kepada syarikat penerbangan negara itu untuk menyusun semula dan memperoleh lebih banyak tunai kepada kerajaan dengan melupuskan aset bukan strategik.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai