Hentikan dulu tindakan jual aset negara
KATA MP | Khazanah ertinya harta atau aset. Khazanah Nasional ertinya aset negara.
Sebagai ahli parlimen saya minta kerajaan persekutuan mencari jalan lain untuk membayar hutang negara sekarang.
Jangan cari jalan mudah dengan menjual harta Khazanah Nasional untuk membayar hutang.
PH mengkritik Najib Razak dan BN kerana menyebabkan negara memikul beban hutang yang besar akibat rasuah dan salah urus negara. Najib dan BN telah dihukum oleh rakyat kerana itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018 yang lalu.
Jika Kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad sekarang menjual harta-harta Khazanah untuk membayar hutang sehingga negara kehilangan harta, percayalah rakyat yang melihat dan membuka mata akan menghukum kita dalam PRU akan datang.
Apa yang kerajaan persekutuan pelu buat sekarang untuk mengelakkan lebih banyak harta Khazanah daripada dijual?
Apakah anggota kabinet yang diketuai perdana menteri sudah kehabisan idea sehingga terpaksa mengambil jalan menjual harta negara?
Saya mohon perdana menteri dan kabinet sekarang membawa perkara mustahak ini kepada parlimen yang akan bersidang pada 7 Oktober nanti.
Beri peluang kepada ahli-ahli parlimen dari kedua-dua belah pihak - kerajaan dan pembangkang - memberikan idea dan buah fikiran untuk membantu pihak eksekutif menangani isu pembayaran hutang negara yang melebihi RM1 trilion angkara salah urus kewangan dan ekonomi serta rasuah kuasa kerajaan BN lalu.
Untuk sementara waktu, hentikan dulu sebarang langkah untuk menjual lagi harta-harta Khazanah atau syarikat lain milik kerajaan.
HASSAN KARIM ialah anggota parlimen Pasir Gudang dan pemimpin PKR.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai