CEO TIA terpaksa tumpang pejabat Jho Low ketika awal operasi
KES 1MDB NAJIB | Ketua pegawai eksekutif (CEO), yang kemudiannya menjadi 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata dia perlu menumpang di pejabat Utama Banking Group (UBG) di KLCC ketika tempoh awal syarikat itu beroperasi.
Dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Shahrol berkata dia perlu menggunakan bilik mesyuarat UBG di menara itu. Ia merupakan pejabat sama yang digunakan ahli perniagaan Low Taek Jho - lebih dikenali sebagai Jho Low - yang ketika itu merupakan pengarah urusan UBG.
Jho Low juga menjadi penasihat tidak rasmi TIA ketika tempoh awal syarikat itu sehinggalah dilantik secara rasmi oleh lembaga pengarah TIA pada 8 April 2009, kata Shahrol lagi.
"Di peringkat awal pengoperasian TIA, saya terpaksa menumpang di bilik mesyuarat pejabat UBG di KLCC.
"Jho Low sebagai pegawai kanan di UBG hampir setiap hari bertanyakan tentang proses program IMTN (Islamic Medium Term Notes, oleh TIA).
"Saya beranggapan beliau sebagai penasihat kepada TIA telah mendapat arahan daripada stakeholders untuk mempercepat terbitan ITMN ini," katanya yang merupakan saksi kesembilan pendakwaan dalam perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan dana 1MDB.
UBG pada mulanya dikawal oleh keluarga bekas ketua menteri Sarawak Abdul Taib Mahmud melalui syarikat mereka, Cahaya Mata Sarawak Bhd (CMS).
Pada 2007, UBG mengaut RM2.23 bilion ketika menjual pegangannya dalam RHB Bank/RHB Capital Bhd kepada Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).
Selepas itu Jho Low berhubung dengan syarikat itu dan meyakinkannya untuk menjual sejumlah pegangan dalam UBG kepadanya.
Bagaimanapun, hubungan Jho Low dengan keluarga Taib menjadi tegang ekoran tindakannya yang didakwa "menjual beli" (flipping) saham untuk mendapat keuntungan.
Ketika itu dia dilaporkan menggunakan wang 1MDB untuk Petrosaudi untuk membeli UBG secara keseluruhan - dikatakan ia untuk memujuk Taib.
Terbitan bon TIA dipercepat untuk pelaburan Mubadala
Ketika perbicaraan hari ini, Shahrol juga berkata dia mempercepaat proses terbitan bon IMTN TIA atas beberapa sebab.
Menurutnya, ia termasuk rancangan UBG untuk membangunkan sebuah projek di Pulau Bidong, Terengganu, dalam usaha sama dengan Mubadala Real Estate, di mana pelaburan untuk projek itu akan datang dari TIA dan syarikat pelaburan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
"Ada tekanan dari Jho Low sebagai penasihat TIA untuk memastikan (terbitan) ITMN ini, menggunakan alasan Tuanku Mizan (Sultan Terengganu dan Yang di-Pertuan Agong ketika itu) dan Najib Razak sebagai pemegang taruh telah meminta saya mempercepatkan program meraih dana ini.
"Ini kerana TIA bermula tanpa sebarang dana," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai