Skip to main
Logo Malaysiakini

Kaukus reformasi anjur seminar bantu kerajaan isu kemiskinan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Laporan oleh Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston, berkenaan garis kemiskinan yang tidak tepat di Malaysia ternyata "membuka mata" bahawa statistik tidak boleh menutup "realiti sebenar yang mengesankan rakyat terbanyak", kata Anggota Parlimen Port Dickson.

Justeru, beliau berkata Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus yang dipengerusikannya akan mengadakan seminar berkenaan kemiskinan dan kesenjangan pendapatan untuk mencari penyelesaian berkenaan masalah itu.

"Di penghujung seminar kami akan memberikan resolusi dan panduan tentang bagaimana kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus membetulkan fokus dalam usaha mencipta sebuah ekonomi yang belas dan prihatin kepada golongan miskin tanpa kira kaum dan kelompok," katanya dalam kenyataan.

Program itu dinamakan Seminar Ekonomi, Kemiskinan dan Kesenjangan di Malaysia: Takrifan dan Pelaksanaan dan diadakan di Parlimen esok, dan menurut Anwar semua anggota parlimen dan senator telah diundang untuk menyertainya.

Anwar berkata, pakar ekonomi seperti Prof Dr Rajah Rasiah dan KS Jomo - kedua-duanya dari Universiti Malaya - akan membentangkan dapatan mereka tentang keadaan kemiskinan di negara ini.

"Dengan menggunakan data tidak tepat, kerajaan terdahulu telah menyatakan masalah kemiskinan telah hampir dibasmi sepenuhnya. Kita tahu kenyataan itu tidak tepat dan saya sendiri menyaksikan kemiskinan di setiap bandar dan kampung yang saya lawati di Malaysia.

"Kita akan dikira melakukan kecelakaan yang besar kepada rakyat sekiranya pertimbangan, metodologi dan pendekatan dalam memerangi kemiskinan tidak disemak semula," katanya lagi.

Alston dalam laporannya antara lain menyifatkan kadar kemiskinan negara iaitu 0.4 peratus pada 2016 tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah, iaitu dengan Garis Pendapatan Kemiskinan (PLI) RM980 sebulan bagi setiap isi rumah.

Alston dilapor berkata, kadar kemiskinan sebenar Malaysia ialah kira-kira 15 peratus yang hampir dengan negara lain.

Laporan itu susulan lawatan sebelas hari Alston ke pangsapuri kos rendah, pusat orang kurang upaya, komuniti orang asli dan sekolah di Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Sabah, dan Kelantan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kemudian berkata setuju perlunya mengubah garis kemiskinan sedia ada tetapi menyifatkan kadar kemiskinan negara tidak seteruk dalam laporan PBB itu.

Garis Pendapatan Kemiskinan (PLI) menetapkan pendapatan RM980 sebulan bagi setiap isi rumah untuk garis kemiskinan nasional.