Skip to main
Logo Malaysiakini

Hari ke-12: Najib mahu kekaburan punca kuasa dibuang, kata saksi

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

KES 1MDB | Perbicaraan kes jenayah melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak berhubungn dakwaan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan dana 1MDB memasuki hari ke-12 di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Malaysiakini membawa anda laporan langsung prosiding.

LANGSUNG


4.30pm: Sidang hari ini ditangguhkan hakim dan akan disambung 9.30 pagi esok.


4.15pm: Najib Razak meminta agar Memorandum dan Artikel Persatuan (M&A) 1MDB dipinda bagi menghapuskan kekaburan mengenai kedudukan perdana menteri sebagai sumber kuasa kepada dana badan itu, kata bekas ketua pegawai eksekutif syarikat itu, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Memberikan keterangan sebagai saksi kesembilan, Shahrol berkata beliau masih ingat bagaimana perkataan "kerajaan persekutuan" diubah menjadi "perdana menteri" diminta Jho Low agar diubah.

Kata Shahrol, Jho Low mendakwa ia adalah atas kemahuan Najib sendiri bagi menghilangkan kekaburan berhubung kuasa dalam 1MDB.

"Pindaan itu dibuat pada 11 Ogos 2009," katanya.


4pm: Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata sepanjang tempoh beliau menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB - dari 2009 hingga 2013 - semua keputusan utama seperti dinyatakan pada Memorandum dan Artikel Persatuan (M&A) disampaikan kepadanya melalui Jho Low.

Dalam keterangannya di depan hakim Collin Lawrence Sequerah, bekas pegawai khas Najib itu memberitahu Perkara 117 M&A 1MDB menyatakan, semua keputusan syarikat berkaitan kegiatan kewangan, pelaburan, penstrukturan, kepentingan, sekuriti dan dasar kebangsaan mesti mengambil kira pandangan perdana menteri sebagai wakil kerajaan pusat.

Untuk rekod, perdana menteri semasa Shahrol berkhidmat sebagai CEO 1MDB ialah Najib yang juga menjadi menteri kewangan ketika itu.

Kata saksi pendakwaan itu, Jho Low selalu menghantar e-mel kepadanya atau menggunakan Messenger Blackberry untuk menyampaikan dokumen berkaitan perkara penting dan pelan tindakan berisi fakta seperti objektif Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), kewajaran di sebalik pinjaman dibuat dan hubungan kerajaan dengan kerajaan untuk urusan PetroSaudi International Ltd 1MDB, serta Aabar/IPIC dan 1MDB.

"Kadang-kadang jika ada keperluan berbangkit, kami juga pergi ke rumah (Jho Low) di Jalan Kia Peng dan Jho Low akan menjelaskan tindakan selanjutnya yang perlu saya ambil.

"Jho Low akan kata, itu adalah tindakan yang mendapat restu daripada Najib yang melaksanakan mandat Perkara 117 untuk dilaksanakan kami semua," katanya.


3.47pm: Mahkamah dimaklumkan bahawa corak kerja Jho Low berkaitan dengan 1MDB sudah dibincangkan terlebih dahulu dengan pembuat keputusan sebelum formalisasi untuk memastikan tiada bantahan.

Bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, surat-surat rasmi yang menyusul selepas itu hanyalah untuk memformalkan perbincangan dengan Jho Low, yang sudah berbincang dengan Najib.

"Ini adalah pemformalan perbincangan saya dengan Jho Low, yang telah dibincangkan dengan pelbagai pihak termasuk Najib.

"Pada Julai 2009, selepas hanya bekerja tiga hingga empat bulan bersama Jho Low, saya mengenali corak kerja yang selalu ada perbincangan awal dengan pembuat keputusan untuk memastikan apa-apa yang telah diletakkan atau akan diletakkan (di atas kertas) dalam surat-surat telah dipersetujui dan tidak akan mendapat bantahan.

"Ini adalah untuk membolehkan TIA dan 1MDB bergerak dengan pantas," kata Shahrol.


3.37pm: Ketika Najib menjadi perdana menteri, beliau pernah memberi gambaran kepada Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB ketika itu Shahrol Azral Ibrahim Halmi untuk mengikut arahan Jho Low.

Shahrol memaklumkan perkara itu kepada mahkamah sebagai saksi kelapan dalam pemeriksaan utama.

Sri Ram: Adakah dia (Najib) memberitahu anda untuk mengikut arahan Jho Low?

Shahrol: Najib tidak pernah memberitahu saya untuk mengikut arahan Jho Low. Bagaimanapun, beliau menunjukkan (seperti itu) pada satu atau dua kali, ketika saya bertanya kepada Najib untuk membawa kembali dana yang diamanahkan kepada SRC International, ini kemungkinan besar pada tahun 2010 atau 2011, di mana Najib memberitahu saya untuk bercakap dengan Jho Low.


3.25pm: Mahkamah dimaklumkan bahawa TIA mencadangkan untuk ditukar menjadi 1MDB berdasarkan maklum balas yang diterima daripada Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala, Khaldoon Khalifah Al Mubarak.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif TIA Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata cadangan itu dibuat kepada Najib yang merupakan perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu melalui surat bertarikh 25 Jun 2009.

Menurut Shahrol, Khaldoon juga merupakan ahli lembaga penasihat TIA. Khaldoon kemudian menjadi ahli lembaga penasihat 1MDB tetapi tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat rasmi.

Shahrol berkata TIA telah meminta maklum balas daripada lembaga penasihatnya mengenai perubahan konsep dari TIA kepada 1MDB seperti Mubadala, yang merupakan dana kekayaan yang terkenal di dunia.


3.00pm: Mahkamah dimaklumkan bahawa bon TIA bernilai RM5 bilion telah dijual pada harga RM4.369 bilion pada 26 Mei 2009 melalui perjanjian antara syarikat itu dan AmInvestment Bank Bhd.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif TIA, Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata perbezaan itu termasuk yuran antara RM100 juta dan RM200 juta kepada AmBank sebagai pengatur utama.

Namun dia tidak dapat mengingat jumlah sebenar yang diberikan kepada bank.

Jumlah selebihnya antara RM500 juta dan RM600 juta, menurut Shahrol, disebabkan oleh bon yang dijual pada harga diskaun.

Shahrol memberi keterangan bahawa TIA tidak dimaklumkan pada masa itu kepada siapa bon tersebut dijual dengan diskaun.

Bagaimanapun, Shahrol menambah, penyiasat polis telah memaklumkan kepadanya apabila dia dipanggil untuk membantu penyiasatan tahun lepas bahawa bon itu dijual kepada dua syarikat yang berpangkalan di Singapura dan Hong Kong.

"Saya tidak dapat mengingat nama mereka sekarang. Yang kemudian menjual semula bon pada nilai par kepada entiti di Malaysia," katanya kepada mahkamah.

Menjawab soalan yang dikemukakan oleh DPP Gopal Sri Ram, Shahrol kemudian memberitahu mahkamah bahawa dia juga dimaklumkan oleh polis bahawa kedua-dua syarikat itu milik Jho Low.


2:47pm: Najib ketika menjadi perdana menteri mengarahkan supaya terbitan bon TIA diteruskan meskipun pihak Istana Terengganu mengarahkan untuk ia digantung, kata saksi kelapan.

Bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata dia berada di kediaman rasmi Najib di Langgak Duta pada malam 22 Mei 2009 ketika Najib mengeluarkan arahan itu.

Shahrol berkata bahawa Najib memberitahunya "Kamu teruskan, saya akan bercakap dengan Tuanku".

"Saya menerima ini sebagai perintah dan mandat dari perdana menteri sebagai menteri kewangan untuk meneruskan IMTN (bon TIA) kerana beliau adalah menteri yang bertanggungjawab memberi jaminan kerajaan (untuk penerbitan bon)," kata Shahrol.

Shahrol juga memberi keterangan bahawa ahli perniagaan Jho Low juga berada di kediaman rasmi Najib pada masa itu.


2.40pm: Bekas CEO 1MDB memberitahu mahkamah bahawa tidak ada permintaan yang dibuat oleh kerajaan negeri Terengganu untuk memasukkan wakilnya dalam lembaga pengarah Terengganu Invesment Authority (TIA) Bhd, syarikat yang kemudiannya menjadi 1MDB.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi dalam keterangannya mengatakan bahawa tiada wakil Terengganu walaupun TIA dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Besar Terengganu Diperbadankan.

"Ini kerana tidak ada sebarang permintaan daripada Menteri Besar Terengganu kepada syarikat itu pada masa itu.

"Oleh itu, TIA meneruskan pelan penerbitan bon seperti telah dipersetujui oleh lembaga pengarah TIA.

"Pada masa itu, semua urusan dengan kerajaan negeri Terengganu juga diuruskan oleh penasihat TIA iaitu Jho Low dan Datuk Aziz Akhir.

"Saya sendiri tidak pernah berurusan dengan kerajaan negeri Terengganu," katanya.

Untuk rekod, Aziz adalah suami Tengku Rahimah Puteri, yang merupakan kekanda Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin.


2.30pm: Prosiding disambung semula selepas rehat makan tengah hari.


12.54pm: Mahkamah berehat dan akan disambung pada 2.30pm


12.53pm: Shahrol memberitahu mahkamah bahawa Tengku Rahimah Puteri, yang merupakan kekanda Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin dilantik sebagai pengarah Terengganu Investment Authority (TIA) pada 17 Mei 2009.

Shahrol memberi keterangan bahawa pelantikan itu dibuat menerusi resolusi pengarah yang ditandatangani oleh seorang lagi pengarah Ismee Ismail dan dirinya sendiri.


12.50pm: Mahkamah dimaklumkan bahawa ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, pada 2009 meminjamkan TIA (sebelum ditukar menjadi 1MDB) sebanyak RM70,000 untuk meningkatkan modal sahamnya.

Menurut Shahrol Azral Ibrahim Halmi, yang merupakan bekas CEO syarikat itu, Jho Low telah memindahkan wang itu ke akaun banknya untuk tujuan berkenaan.

Shahrol berkata RM70,000 dianggap oleh syarikat itu sebagai satu bentuk pinjaman pengarah, dan kemudiannya dibayar balik oleh TIA menerusi akaun Shahrol.

Bagaimanapun, menurut saksi, Jho Low telah memberitahu Shahrol selepas itu apabila dimaklumkan bahawa bayaran balik itu sudah sedia dipindahkan kepada Jho Low.

"Selepas beberapa ketika, saya berhenti bertanya. Saya kemudian menggunakan wang itu untuk tujuan amal," kata Shahrol.

Shahrol kemudian ditanya oleh timbalan ketua DPP Gopal Sri Ram jika dia masih antara program amal yang dia telah salurkan wang tersebut.

Shahrol kemudian memberitahu mahkamah bahawa antara yang dia boleh ingat ialah menaja anak-anak yatim untuk menonton pertunjukan 'Upin dan Ipin' di Istana Budaya.


12.40pm: Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberi keterangan bahawa dia dan kakitangan lain bekerja dengan sangat laju dalam mendapatkan jaminan kerajaan bagi terbitan bon Terengganu Investment Authority (TIA) pada 2009.

Saksi ke-8 itu memberitahu Ketua DPP Gopal Sri Ram semasa pemeriksaan utama bahawa mereka bekerja dengan pantas kerana ia melibatkan Najib yang merupakan perdana menteri ketika itu, selain Sultan Terengganu.

"Sangat laju. Kami bekerja dengan sangat laju kerana rasa ia perlu disegerakan.

"Bagi saya sekurang-kurangnya, kita perlu melakukan sesuatu untuk pihak berkepentingan Najib dan Tuanku (Agong), untuk menunjukkankami boleh dipercayai," kata Shahrol.


12.25pm: Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah bahawa Sultan Terengganu Tuanku Mizan Zainal Abidin, yang juga Yang Dipertuan Agong ketika itu, mahu kekanda baginda dilantik sebagai pengarah di Terengganu Investment Authority (TIA) pada 2009.

Menurut Shahrol, yang menjadi Ketua Pegawai Eksekutif TIA, dan seterusnya menjadi 1MDB, perkara itu yang dikatakan ahli perniagaan Low Taek Jho.

"Selepas resolusi ini selesai, Jho Low memaklumkan bahawa Tuanku Mizan telah menetapkan untuk lembaga pengarah TIA melantik kekanda baginda sebagai salah seorang pengarah TIA untuk mewakili kepentingan negeri Terengganu."


12.15pm: Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim menyambung semula kesaksiannya di bawah pemeriksaan utama oleh DPP Gopal Sri Ram.


12.10pm: Selepas mendengar hujah daripada kedua-dua peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah dan ketua DPP Gopal Sri Ram mengenai bantahan pasukan pembelaan terhadap kenyataan Shahrol yang disifatkan sebagai khabar angin, hakim berkata akan menggantung keputusan berhubung perkara itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata: "Seperti yang saya katakan sebelumnya, keputusan boleh digantung sehingga akhir prosiding."

Terdahulu, sebelum kedua-dua pihak membuat penyerahan, Sequerah memberitahu mereka bahawa mahkamah mungkin hanya menyampaikan keputusannya pada hujung prosiding.

Sequerah kemudian memerintahkan perbicaraan untuk disambung semula.


11.49am: Pasukan pembelaan menyifatkan bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi membuat kenyataan khabar angin di atas khabar angin lain (double hearsay).

Ia mengenai perkara yang dikatakan Shahrol dimaklumkan Jho Low kepadanya tentang apa yang dimaklumkan Najib kepada ahli perniagaan dalam buruan itu.

Perkara itu dinyatakan dalam penyerahan oleh peguam utama Muhammad Shafee Abdullah pada bantahan terhadap sebahagian kenyataan saksi ke-8 itu yang melibatkan Jho Low dan Najib.

"Dalam memetik anak guam saya, ada dua khabar angin, dia (Shahrol) tidak mengatakan apa yang dikatakan oleh anak guam saya, tetapi apa yang Jho Low dengar dari klien saya, kemudian beritahu saya (Shahrol).

"Ini adalah khabar angin atas khabar angin (double hearsay) dan ia tidak boleh diterima," kata Shafee.

Shafee menambah bahawa pemahaman Najib ketika itu relevan dan harus ditentukan, bukannya pemahaman Shahrol atau Jho Low.


11.30am: Kenyataan bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi mengenai Jho Low bukanlah khabar angin kerana ia mempunyai kesan langsung sama ada Najib dikelirukan oleh Jho Low, kata Timbalan Ketua DPP Gopal Sri Ram

Sri Ram berkata, ini kerana konteks kenyataan Shahrol tentang apa Jho Low kata akan menunjukkan sama ada Najib telah dikelirukan atau tidak, yang merupakan hujah pembelaan.

"Konteks di mana kenyataan itu dibuat, pertuduhan terhadap tertuduh (Najib) dan pertuduhan adalah bahawa dia menggunakan jawatan dan kedudukannya.

"Dalam konteks itu, pembelaannya (Najib) seakan menunjukkan dia dikelirukan oleh Jho Low.

"Maka, pihak pendakwaan berhak menunjukkan dia tidak atau tidak dapat dikelirukan oleh Jho Low.

"Apa yang dikatakan Jho Low kepada saksi tertentu (Shahrol) sangat penting," kata Sri Ram.

Sri Ram yang juga bekas hakim mahkamah persekutuan, mengemukakan hujah untuk mempertahankan kesaksian Shahrol mengenai apa yang dikatakan Jho Low kepadanya tidak boleh dianggap sebagai khabar angin.


11.05am: Dalam menyimpulkan hujah membantah kenyataan Shahrol yang disifatkan sebagai "khabar angin", peguam Muhammad Shafee Abdullah berkata membenarkan kenyataan saksi boleh membawa kepada ketidakadilan dan perbicaraan yang tidak adil.

Dia kemudian menjemput pihak pendakwaan untuk menampilkan Jho Low yang banyak dipetik oleh Shahrol di mahkamah.

"Yang Arif, saya rasa saya boleh kata bahawa Ketua Polis Negara (IGP) telah mengenal pasti lokasi Jho Low.

"Perdana menteri cakap, timbalan perdana menteri cakap. Dan jika IGP cakap, mereka mesti sudah tahu di mana dia (Jho Low) berada.

"Saya ingin menjemput agar (pendakwaan) bawa Jho Low (ke mahkamah), jadi kita boleh menentukan kebenaran," katanya.


10.45am: Mahkamah mendengar hujah daripada peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah yang berkata bahawa bergantung kepada bukti khabar angin pernah menyebabkan pertuduhan terhadap suspek yang salah.

Memetik kes 2009 melibatkan Chan King Yu dengan pendakwa raya, Shafee mengatakan bahawa Chan telah disabitkan bersalah oleh seorang Majistret dan kemudiannya oleh Mahkamah Rayuan atas kesalahan dadah, namun kemudian dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Unsur prejudis yang dikatakan dalam kes itu adalah melibatkan maklumat yang dinyatakan oleh pegawai polis di mahkamah tentang tertuduh, yang diputuskan Mahkamah Persekutuan sebagai khabar angin.

Shafee berkata Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa mahkamah tidak boleh membenarkan seorang pegawai polis memetik maklumat seperti itu di mahkamah.

"Dua Mahkamah Tinggi, dan Mahkamah Rayuan, mensabitkan lelaki ini.

"Ini adalah untuk menunjukkan kepada Yang Arif bahawa mahkamah sekali pun boleh membuat kesilapan," kata Shafee.


10.18am: Pasukan pembelaan berhujah bahawa Jho Low tidak berada di mahkamah untuk membuktikan kenyataan bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah perkara itu dalam penyerahannya bahawa bahagian dakwaan tentang kenyataan Shahrol itu tidak seharusnya dibenarkan.

(Testimoni berhubung) apa yang tertuduh (Najib) beritahu kepadanya (Shahrol), itu dibenarkan kerana dia (Najib berada di sini di mahkamah) dan prinsip-prinsip keadilan dapat dilaksanakan.

"Tetapi apabila melibatkan Jho Low, asas prinsip keadilan tidak ada di sini kerana saya tidak dapat menyoal Jho Low (mengenai apa yang Shahrol dakwa dimaklumkan kepadanya oleh ahli perniagaan itu)," kata Shafee.


10.05am: Pasukan pembelaan Najib mula mengemukakan bantahan terhadap perkara yang disifatkan mereka sebagai khabar angin dalam kenyataan Shahrol.

Bahagian yang dikatakan sebagai khabar angi dalam Kenyataan Saksi berkenaan adalah berhubung "hubungan rapat" Jho Low dengan Najib pada 2009.


10.00am: Prosiding bermula dan Najib memasuki kandang tertuduh.

Juga dilihat di mahkamah ialah DPP Gopal Sri Ram dan DPP lain serta peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah dan anggota lain pasukan pembelaan.


9.30am: Najib masuk dalam mahkamah dan duduk di kerusi barisan depan galeri awam menunggu prosiding bermula.


Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi menyampaikan satu siri testimoni meengejutkan semasa perbicaraan semalam.

Setelah memberi keterangan kesaksian kira-kira 10 peratus daripada 270 muka surat kenyataan bertulisnya, saksi kesembilan itu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa ahli perniagaa yang kini dalam buruan, Jho Low menurutnya sangat rapat dengan Najib yang merupakan perdana menteri ketika itu sehingga akan memesan Milo ais sendiri di kediaman rasmi tertuduh pada bulan April 2009.

Antara kesaksian sensasi lain yang diberikan oleh saksi utama ialah Jho Low dikatakan menasihatkan kerajaan persekutuan dan kerajaan Terengganu mengenai pembentukan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) pada Februari 2009. TIA seterusnya bertukar menjadi 1MDB.

Semasa prosiding di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah memasuki hari ke-12 pagi ini, mahkamah mungkin memilih untuk mendengar penyerahan bantahan oleh pasukan pembelaan Najib ke atas kenyataan saksi Shahrol.

Semalam, peguam Muhammad Shafee Abdullah berusaha untuk mengenepikan kenyataan saksi Shahrol yang menyentuh mengenai Jho Low yang didakwa dekat dengan Najib, mendakwa bahawa ia boleh dianggap sebagai khabar angin.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Gopal Sri Ram telah menyatakan bahawa pihak pendakwaan akan mempertahankan bahawa kesaksian Shahrol masih boleh diterima dalam prosiding.

[Berita lanjut menyusul]