Skip to main
Logo Malaysiakini

Bicara kes CEO Huawei di Kanada bermula

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

GLOBAL | Kamar di sebuah mahkamah di Vancouver dipenuhi wartawan tempatan dan asing bagi mengikuti perbicaraan kes membabitkan ketua pegawai eksekutif gergasi teknologi China Huawei, Meng Wanzhou, lapor agensi berita Anadolu.

Meng juga sedang bergelut dengan kes ekstradisi yang dibuat oleh Amerika Syarikat (AS) kepada pihak berkuasa Kanada, di mana beliau akan didakwa kerana menipu dan membantu syarikatnya membatalkan sekatan AS terhadap Iran.

Pasukan peguamnya berharap dapat membuktikan bahawa Agensi Perkhidmatan Sempadan Kanada (CBSA) menahan Meng selama tiga jam sebelum diserahkan kepada polis Kanada.

Tiga jam itu digunakan untuk menjalankan "penyiasatan jenayah terselindung" atas permintaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS yang membawa kepada penahanan Meng pada Disember di lapangan terbang Vancouver.

Bagaimanapun, Pejabat Peguam Negara Kanada mengatakan Meng diberikan layanan sama seperti orang lain yang cuba memasuki Kanada dengan mempunyai waran tangkap terhadapnya.

"Tiada konspirasi. Ia hanya tugasan yang dibuat untuk CBSA berdasarkan peraturan yang sah dan tidak lebih daripada itu," jelasnya.

Pendengaran kes ekstradisi beliau akan bermula pada Januari 2020, tetapi pasukan peguamnya mahu dokumen tambahan untuk membuktikan bahawa penahanannya menyalahi peraturan.

Pada 16 September, Pejabat Peguam Negara Kanada berkata peguam Meng telah menerima semua dokumen yang diperlukan.

Meng diletakkan di bawah tahanan rumah sejak Disember dan kes berkenaan mencetuskan krisis diplomatik antara Kanada dan Beijing.

- Bernama