Skip to main
Logo Malaysiakini

Beli produk mapan boleh bantu tangani jerebu - WWF

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pertubuhan World Wide Fund for Nature-Malaysia (WWF-Malaysia) menggesa syarikat-syarikat tempatan membangunkan sumber produk-produk pertanian secara lebih mapan dalam menangani musim jerebu yang sering berulang melanda negara.

Pengarah Konservasi WWF-Malaysia Dr Henry Chan berkata syarikat-syarikat berkenaan boleh didorong untuk membangunan penyelesaian kepada produk-produk pertanian dari sumber yang mapan dalam rantaian nilai keluaran mereka.

“Kami (WWF-Malaysia) menghargai syarikat-syarikat yang mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan pihak-pihak lain dalam rantaian nilai bagi mewujud dan menyokong model bagi menampilkan hasil pengeluaran yang lebih mapan dan amalan kerja yang terbaik, termasuk dari segi mengelak kebakaran dan juga model-model yang inklusif terhadap para petani dan penanam.

“Kami juga percaya syarikat-syarikat terlibat perlu mengambil tanggungjawab untuk berinteraksi dengan pelanggan-pelanggan mereka berhubung inisiatif mapan yang dilaksanakan, bagi mendidik mereka berhubung kepentingan pengeluaran dan penggunaan yang mapan,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata lebih banyak syarikat seharusnya memperjuangkan kemapanan, dan bukannya mengelaknya, malah syarikat-syarikat yang cuba mengelak isu ini seharusnya diberi tekanan supaya mengguna pakai amalan mesra alam sekitar seperti yang diamalkan oleh kerajaan, syarikat-syarikat kewangan dan juga para pengguna.

Chan berkata para pengguna perlu sedar mereka juga memiliki kuasa membeli dan secara bersama boleh memberi tekanan hebat bagi menuntut supaya produk-produk lebih mapan dapat ditawarkan oleh para pengeluar.

Sehubungan itu WWF-Malaysia menggesa para pengguna memainkan peranan lebih hebat dalam penggunaan produk-produk yang mapan dengan menggunakan kuasa membeli mereka untuk membeli dengan lebih bergtanggungjawab.

"Salah satu cara bagaimana perkara ini dapat dilaksanakan adalah dengan membeli hanya produk-produk yang diiktiraf mapan seperti produk yang memiliki sijil Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan sijil Majlis Pengawasan Hutan (FSC).

“Apabila terdapat permintaan kepada produk yang dihasilkan secara mapan, maka besar kemungkinan para pengilang akan meningkatkan tahap kemapanan dalam rantaian pengeluaran mereka,” katanya.

- Bernama