Skip to main
Logo Malaysiakini

Jho Low arah guna emel peribadi dalam urusan 1MDB, TIA - Saksi

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

KES 1MDB NAJIB | Seorang saksi utama mendedahkan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low mengarahkan supaya emel persendirian dan Blackberry Messenger (BBM) digunakan dalam urusan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB dan TIA, Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata selain berjumpa semuka dengan Jho Low, beliau juga ada menggunakan emel dan Blackberry Messenger (BBM).

“Emel rasmi saya di TIA dan 1MDB ialah [email protected] dan [email protected]. manakala emel Jho Low adalah [email protected].

"Bagaimanapun, banyak perhubungan emel saya dengan Jho Low dilakukan melalui emel persendirian saya iaitu [email protected] dan Jho Low menggunakan emel [email protected].

"Penggunaan emel persendirian ini adalah dari arahan Jho Low sendiri kerana menurut beliau kandungan emel adalah sulit dan hanya untuk kegunaan kami sahaja,” katanya dalam penyataan saksinya setebal 270 muka surat ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram pada perbicaraan kes bekas perdana menteri Najib Razak.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata beliau hanya akur terhadap permintaan itu kerana beliau percaya pada ketika itu ini adalah bertujuan untuk menjaga kepentingan perdana menteri ketika itu.

Shahrol Azral, 49, berkata dalam tahun 2009 hingga 2010 terutama apabila TIA dan 1MDB berurusan dengan pihak syarikat PetroSaudi International (PSI), Jho Low banyak mengeluarkan arahan dan maklumat melalui emel dan juga BBM untuk perkara-perkara yang penting.

“Umpamanya semasa saya meminta penjelasan mengenai syarikat Good Star Ltd. Seterusnya dalam tahun-tahun 2010 hingga 2013, Jho Low lebih gemar menggunakan emel [email protected] untuk memberikan nasihat, arahan dan makluman daripada Najib.

"Contohnya semasa pembelian IPP Jimah Energy Ventures di mana harga pembelian adalah dirunding secara terus di antara pemilik IPP Jimah dan Najib sebagai pemilik saham 1MDB,” katanya.

Saksi itu berkata beliau juga ada meminta pandangan Jho Low sebelum berhubung dengan pihak CEO Aabar BVI iaitu Mohamed Badawy semasa mahu mewujudkan usahasama antara 1MDB dan Aabar untuk membangunkan TRX.

“Ketika itu saya menghantar emel ke alamat [email protected] dan beliau juga membalas emel saya ke alamat [email protected]. Ini disebabkan permintaan Jho Low untuk jangan menggunakan emel rasmi dalam perhubungan saya dengan beliau,” katanya.

Jumpa di rumah Jho Low

Beliau menjelaskan bahawa dalam pengalamannya sebagai CEO 1MDB dari tahun 2009 sehingga 2013, semua keputusan besar melibatkan perkara yang dinyatakan dalam Artikel 117 M&A (memorandum and articles) syarikat 1MDB adalah disampaikan kepadanya melalui Jho Low.

“Jho Low akan emel dari alamat [email protected] kepada emel saya di [email protected] atau BBM kepadanya dokumen-dokumen ‘talking points’ dan ‘action plan’ yang mengandungi fakta-fakta seperti tujuan penubuhan TIA, rationale untuk membuat pinjaman dan hubungan G to G antara PSI dan 1MDB serta Aabar/IPIC dan 1MDB.

"Kadang kala atau apabila ada keperluan, kami juga akan membuat perjumpaan di rumah beliau di Jalan Kia Peng bagi Jho Low menerangkan lebih lanjut tentang tindakan-tindakan susulan yang perlu saya buat,” katanya.

Beliau berkata Jho Low akan sentiasa memberitahu bahawa tindakan-tindakan ini merupakan arahan yang telah mendapat restu daripada Najib yang mana beliau membawa mandat Artikel 117 M&A untuk dilaksanakan dalam pasukan kerja ini.

“Gerak kerja ini adalah berlapis-lapis dan kami faham secara ‘need to know basis’ sahaja peranan-peranan pasukan lain yang turut berada dalam gerak kerja berlapis ini.

"Gerak kerja secara berlapis dan sulit ini dikenali antara sesama kami di peringkat pelaksana sebagai ‘work in silo’. Ini adalah frasa yang digunakan oleh Jho Low sendiri kepada saya,” katanya.

- Bernama