Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu kaum, agama 'senjata' pembangkang di Tg Piai - Salahuddin

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Isu agama dan perkauman bakal menjadi 'senjata' pembangkang PAS dan Umno pada pilihan raya kecil Tanjung Piai akan datang, kata Pengarah Pilihanraya PH Johor Salahuddin Ayub.

Beliau yang juga naib presiden Amanah dipetik Sinar Harian berkata isu nasional akan menguasai kempen PRK Tanjung Piai berbanding isu tempatan.

Pengundi Melayu Islam di kawasan parlimen itu berjumlah 57 peratus.

Salahuddin yang juga menteri kabinet menjelaskan PRK kali ini akan menguji sejauh mana kerjasama Umno dan PAS dapat menyakinkan pengundi Melayu.

"Bagi MCA pula saya yakin mereka juga mahu membuat ujian sejauh mana parti itu ada peranan kerana mendakwa pengundi Cina sudah kembali kepada Barisan Nasional ( BN).

"Pilihan raya ini juga menjadi satu 'test ground' bagi MCA kerana kawasan ini (Tanjung Piai) mempunyai 41.6 peratus pengundi Cina," katanya pada sidang akhbar di DUN Pulai Sebatang di Pontian.

Beliau juga menyatakan keyakinan pengundi parlimen itu akan membuat pilihan bijak berdasarkan rekod perkhidmatan anggota parlimen penyandangnya Allahyarham Dr Farid Md Rafik meninggal dunia pada Sabtu lalu.

Tanjung Piai secara tradisinya ditandingi MCA.

Pada PRU14, Farid menumbangkan penyandang selama dua penggal di kerusi berkenaan, iaitu Wee Jeck Seng daripada MCA dengan majoriti tipis 524 undi manakala calon PAS Nordin Othman pula mendapat 2,962 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 1 Oktober depan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor.