Skip to main
Logo Malaysiakini

Bila ekonomi meleset k'jaan kena lebih berbelanja - Jomo

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kerajaan sebenarnya perlu lebih banyak berbelanja untuk menangani hutang negara dan kemelesetan ekonomi, kata pakar ekonomi yang juga bekas anggota Majlis Penasihat Kerajaan, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram.

Pendirian Jomo ini berbeza dengan pendekatan kerajaan kini yang mengamalkan sikap berjimat cermat dalam berbelanja.

Katanya, jika negara berbelanja lebih dalam jangka masa pendek, kedudukan fiskal (kewangan) negara akan bertambah baik untuk jangka masa sederhana dan hal itu dapat ditunjukkan daripada ramalan makroekonomi.

“Pada hemat saya, ini (sikap tidak mahu berbelanja) satu sikap yang songsang.

“Kita harus memahami, dalam keadaan (ekonomi) sempit seperti yang kita hadapi sekarang, agensi yang menentukan penilaian kredit akan cukup memahami bahawa kerajaan-kerajaan dunia termasuk Malaysia mesti mengambil satu sikap untuk melawan kitaran (kemelesetan).

“Itu akan diakui oleh semua ahli ekonomi yang tak didorong oleh ideologi yang dipegang secara dogmatis,” katanya.

Menurut Jomo, kemelesetan ekonomi akan menjadi semakin teruk jika tidak diatasi dengan perbelanjaan awam.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Seminar Ekonomi, Kemiskinan dan Kesenjangan di Malaysia: Takrifan dan Pelaksanaan di parlimen hari ini.

Seminar anjuran Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Majlis Ahli-ahli Penyokong Kerajaan dan Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu dihadiri pengerusi kaukus, Anwar Ibrahim dan dirasmikan Timbalan YDP Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon.

Biarpun berpendapat perbelanjaan hasil kerajaan (fiskal) sebagai cara terbaik untuk jangka masa pendek, namun tambah Jomo, ia mungkin boleh membawa masalah lain pula dalam jangka masa panjang.

“Jadi kita harus memikirkan rangsangan fiskal yang dapat mencapai kedua-dua matlamat - menstabilkan ekonomi jangka pendek, dan di samping itu, memesatkan pertumbuhan (ekonomi) jangka sederhana dan panjang,” katanya lagi.

Oleh hal yang demikian, Jomo yang juga pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaysia mencadangkan cara perbelanjaan yang mampu membantu pemulihan ekonomi negara, salah satunya melalui perbelanjaan perlindungan sosial.

Beliau mencadangkan kerajaan untuk membuat skim makanan tengah hari percuma untuk semua pelajar di sekolah.

Katanya, hal itu dapat merangsang ekonomi dengan cara membantu golongan petani yang menghasilkan tanaman sumber makanan, selain dapat juga merangsang untuk mempelbagaikan jenis tanaman makanan yang sebelum ini hanya dipelopori oleh tanaman padi.

Katanya, hal itu dapat membantu petani dengan cara mendapatkan bekalan daripada persatuan-persatuan petani dan peladang dan bukannya oleh syarikat gergasi seperti yang berlaku dahulu.

Subsidi harga padi tinggi ganti subsidi baja

Menyifatkan masalah itu sebagai satu “kemelut besar dalam pertanian” negara, Jomo menjelaskan, 90 peratus daripada tanah pertanian di Malaysia digunakan untuk tanaman industri seperti kelapa sawit, getah dan koko, dan hanya 10 ke 12 peratus melibatkan tanaman makanan, itu pun didominasi tanaman padi.

“Sedangkan kita dapati golongan penanam padi kebanyakannya adalah penanam yang paling miskin di Malaysia, walaupun (aktiviti) penanaman padi ini disubsidikan lebih 60 peratus oleh kerajaan,” ulasnya.

Untuk rekod, Kementerian Pendidikan akan melaksanakan Program Sarapan Percuma (PSP) bagi murid sekolah rendah yang dijangka bermula pada tahun depan.

Jomo juga menyarankan kerajaan memberikan subsidi harga kepada penanam padi dengan penetapan harga padi yang lebih tinggi daripada harga pasaran dunia.

Katanya, kaedah subsidi baja sedia ada sekarang yang dibekalkan syarikat gergasi antarabangsa sebenarnya tidak mempunyai kesan baik untuk merangsang ekonomi penanam padi.

Dalam perkembagan lain, Jomo berkata Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak sepatutnya menjadi keutamaan untuk Kelantan yang ketika ini masih berdepan dengan masalah yang lebih penting yang belum selesai seperti isu sistem kawalan kebersihan awam, termasuk bekalan air bersih, pembuangan sampah dan pembuangan najis.

Beliau mengulang kritikannya terhadap projek ECRL dan meminta supaya kerajaan menangguhkan projek itu susulan keterangan yang timbul pada perbicaraan rasuah melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Dalam ucapannya, Jomo merujuk ECRL yang dimulakan kerajaan terdahulu sebagai “projek korup”.

Susulan kenyataannya itu, semasa sesi soal jawab, penganalisis politik, Prof Mohammad Agus Yusoff yang turut hadir bangkit menyuarakan pandangannya yang tidak bersetuju dengan pendirian Jomo itu.

“Saya berdiri untuk menyatakan betapa mustahaknya ECRL diteruskan, kita jangan tengok dari segi ketidakseimbangan fiskal pada hari ini, itu salah pandangan seperti itu.

“Kita kata kosnya mahal pada hari ini tetapi percayalah untuk 10 ke 20 tahun ke hadapan inilah rakyat akan kenang, dan akan tengok Kelantan membangun.

“Saya mahu di Kelantan ini kemudahan lebuh rayanya, kereta apinya dibina baru cakap (soal) kenapa Kelantan mundur. Kalau tidak, kita bukan di kedudukan untuk kata macam tu,” katanya.

Menjawab bantahan Agus, Jomo berkata keperluan ECRL adalah soal kedua, tetapi persoalan utama ialah tentang perbelanjaannya jauh lebih tinggi daripada harga yang dianggarkan oleh konsultan yang dilantik sendiri oleh kerajaan.