Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis minta bantuan kesan isteri lelaki ditembak mati

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai G Moganambal, isteri kepada salah seorang daripada tiga lelaki yang ditembak mati oleh polis di Rawang pada 14 Sept lalu untuk tampil.

Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin berkata, polis masih mencari wanita berusia 35 tahun itu bagi membantu siasatan berhubung kes rompakan berkenaan.

"Kami sedang cari dia dan kami perlukan bantuan daripada orang ramai yang tahu di mana dia berada," kata Noor Azam.

Kumpulan Tindakan Masyarakat Mengenai Kehilangan Paksaan (Caged) sebelum ini menggesa Noor Azam mengesan Moganambal dan meminta Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador campur tangan dengan menawarkan perlindungan kepada pemberi maklumat.

"Ketua polis negara perlu menawarkan perlindungan sepenuhnya kepada mana-mana pemberi maklumat yang akan bercakap benar. Gunakan talian hotline pemberi maklumat sedia ada jika ada, jika tidak buat yang baru serta-merta.

"Orang ramai hilang keyakinan terhadap polis dalam mengendalikan kes kehilangan Moganambal," kata penasihat Caged, Rama Ramanathan.

Ketiga-tiga mereka, G Thavaselvan, S Mahendran dan suami Moganambal v Janarthanan ditembak mati di Batu Arang, Rawang.

Keluarga mangsa mendakwa Moganambal dan suaminya, yang memegang status penduduk tetap tiba di Malaysia bulan lalu dari United Kingdom untuk melawat saudara-mara dan mendakwa kejadian itu merupakan kes "penculikan dan pembunuhan".

Polis mendakwa tiada sebarang rekod kemasukan Janarthanan ke negara ini dan lelaki itu dikehendaki kerana terlibat dalam kes rompakan di sebuah tapak pembinaan di Sentul pada 2016.

Noor Azam berkata, ketika kejadian, ketiga-tiga lelaki berkenaan enggan berhenti untuk pemeriksaan yang membawa kepada insiden kejar mengejar dengan pihak polis.

Beliau berkata tembakan kemudian dilepaskan ke arah anggota polis sebelum pihak polis membalas tembakan ke arah ketiga-tiga suspek.

Polis merampas antara lain dua pucuk pistol semi-automatik dan tiga parang.

Keluarga itu mendakwa Moganambal keluar untuk makan malam dengan ketiga-tiga lelaki berkenaan sehari sebelum kejadian berlaku.

Bagaimanapun Noor Azam menegaskanwanita itu tidak berada di dalam kereta ketika kejadian berkenaan.