Skip to main
Logo Malaysiakini

Lelaki baru bebas dari penjara ditahan kerana menyamun

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Baru saja dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh pada 13 Sept lepas, seorang lelaki ditahan semula tengah malam tadi kerana terbabit dalam tiga kes samun di sekitar daerah Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din, berkata suspek berusia 31 tahun itu ditahan di sekitar rumahnya dekat Taman Putra Damai Lembah Subang.

Turut ditahan, seorang jirannya berusia 25 tahun yang dipercayai turut terbabit dalam kes samun stesen minyak di Petaling Jaya yang dilaporkan pada 17 Sept lepas.

"Dalam kejadian itu, suspek memakai topi keledar masuk ke kaunter bayaran di stesen minyak dan mengarahkan juruwang menyerahkan wang dari mesin sambil mengacukan parang.

"Suspek beredar dengan menggunakan motosikal dan terdapat rakaman kamera litar tertutup ketika kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zani berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek sudah berkawan sejak 12 tahun lalu dan mereka menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Subang.

Katanya, hasil soal siasat mendapati bekas banduan itu mengakui melakukan samun di tiga lokasi iaitu Taman Seapark, Sungai Way dan Kampung Baru Subang sejak dibebaskan.

Jelasnya, pemeriksaan polis mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

- Bernama