Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib - Jho Low: Hubungan simbiotik, kata bekas CEO 1MDB

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

KES 1MDB NAJIB l Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB hari ini menyifatkan hubungan Najib Razak dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low sebagai 'hubungan simbiotik'.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata demikian apabila menjawab kepada satu soalan tambahan daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram pada hari ke-13 perbicaraan kes Najib melibatkan dana 1MDB.

Sri Ram: Pada fikiran anda, apakah hubungan antara tertuduh dan Jho Low?

Shahrol Azral: Jika saya boleh menggunakan terma biologikal, Yang Arif, hubungannya seperti simbiotik.

Sri Ram: Hubungannya simbiotik?

Shahrol Azral: Ya… Simbiotik dalam erti kata Jho Low melaksanakan apa yang Najib mahukan dan peranan Najib adalah untuk meluluskan apa sahaja keputusan yang diperlukan.

Sri Ram: Diperlukan oleh siapa?

Shahrol Azral: Diperlukan oleh bukan sahaja syarikat berkenaan malahan juga jentera kerajaan.

Kepada satu lagi soalan, saksi berkenaan berkata usahasama antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi dilaksanakan oleh tertuduh dan Raja Abdullah.

Sri Ram: Menurut apa yang anda katakan dalam kenyataan saksi, usahasama itu dibuat antara kedua-dua kerajaan?

Shahrol Azral: Ya

Sri Ram: Jadi tertuduh melaksanakannya bagi pihak kerajaan Malaysia dan Raja Abdullah bagi pihak kerajaan Arab Saudi? Adakah itu yang terjadi?

Shahrol Azral: Tidak

Sri Ram: Adakah tertuduh pada bila-bila memaklumkan Ahli Lembaga Pengarah, kenapa ini tidak berlaku?

Shahrol Azral: Tidak

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah sedang berlangsung.

- Bernama