Skip to main
Logo Malaysiakini

Tampil dan buktikan polis bersalah, atau tunggu inkues, kata IGP

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ketua Polis Negara (IGP) Abdul Hamid Bador melahirkan rasa kecewanya dengan pihak tertentu yang melemparkan tuduhan terhadap polis berhubung kes tembakan di Rawang, yang menyaksikan tiga lelaki ditembak mati.

Pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini, Abdul Hamid menggesa mereka yang bersuara mengenai kejadian itu untuk tampil mengemukakan bukti atau menunggu inkues bagi kes tersebut.

Keluarga mangsa yang terbunuh, G Thavaselvan mendakwa kejadian pada 14 September lalu di Batu Arang, Rawang itu adalah kes "penculikan dan pembunuhan".

“Pihak tak bertanggungjawab keluar komen, menuduh polis.

“Saya katakan kalau ada bukti, tampil ke depan, atau tunggu inkues.,” katanya.

Abdul Hamid juga menegaskan bahawa anggotanya telah memfailkan laporan selepas terdapat tuduhan bahawa pegawainya mendakwa kakak ipar Thavaselvan, Moganambal berada di tempat kejadian.

Kehadiran wanita itu bagaimanapun masih belum diketahui.

"Ada juga klip yang dimuat naik di media sosial untuk memberi kesan bahawa dia berada di tempat kejadian.

"Saya menggesa orang ramai supaya tidak terpengaruh, jika anda tidak faham, sila rujuk polis," katanya.

Terdahulu, semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin berkata polis mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam menjalankan tugas mereka.

“Kami bukan senang-senang nak tembak orang, tapi nak jamin keselamatan.

“Kita ada SOP dan kita patuhi. Mana-mana anngota yang langgar SOP, kami dulu yang ambil tindakan.

“Bila mereka challenge (cabar) kami, kami terpaksa pertahankan diri. Kalau boleh kami nak tangkap hidup-hidup, kami dapat maklumat lagi kalau macam tu,” kata Noor Azam.

Semasa kejadian, Thavaselvan, S Mahendran, dan suami Moganambal V Janarthanan ditembak oleh polis.

Janarthanan memegang status penduduk tetap Britain. Dia dan keluarganya memasuki Malaysia pada bulan lalu kononnya dengan tujuan melawat seorang saudara yang sakit.

Polis berkata bahawa tiada rekod ketibaan Janarthanan di mana-mana pintu masuk negara dan dia dikehendaki atas sebab merompak di sebuah tapak pembinaan di Sentul pada 2016.

Noor Azam mengatakan bahawa semasa kejadian, mereka enggan berhenti untuk pemeriksaan dan ini memaksa polis untuk mengejar mereka.

Beliau berkata tembakan kemudian dilepaskan ke arah polis dan ini memaksa mereka membalas tembakan, sehingga menyebabkan kematian ketiga-tiga individu tersebut.

Polis telah merampas dua pistol semi-automatik dan tiga parang, antara barangan lain.

Keluarga tersebut mendakwa bahawa Moganambal keluar untuk makan malam bersama ketiga-tiga individu tersebut, sehari sebelum insiden itu terjadi tetapi Noor Azam menegaskan bahawa Moganambal tidak berada di dalam kereta ketika ketiga-tiga lelaki itu ditembak mati.