Skip to main
Logo Malaysiakini

Goldman Sachs mahu dapatkan semula wang rakyat Malaysia

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Goldman Sachs Group Inc, bank yang bertanggungjawab mengatur tiga bon untuk 1MDB berjumlah AS$ 6.5 bilion, sejumlah besar yang kemudiannya disalahgunakan, berkata ia sedang berusaha mendapatkan semula wang yang dicuri untuk Malaysia.

Presiden dan ketua pegawai operasi Goldman Sachs, John Waldron, dalam temu bual dengan Bloomberg Television, berkata beliau berharap dapat mengakhiri kemelut berkenaan.

"Kami ingin meletakkan perkara ini di belakang dan mendapatkan semula wang rakyat Malaysia yang sepatutnya," katanya.

Disember tahun lalu, Jabatan Peguam Negara memfailkan dakwaan jenayah terhadap anak syarikat Goldman Sachs dan bekas pekerja mereka Tim Leissner dan Roger Ng Chong Hwa.

Bulan lalu, tuduhan jenayah juga dibawa terhadap 17 eksekutif Goldman Sach dan bekas eksekutif berhubung dengan 1MDB.

"Tuduhan itu dikenakan terhadap mereka kerana membuat skim untuk menipu kerajaan Malaysia dan pembeli tiga bon dengan nilai muka AS$6.5 bilion (RM27.38 bilion) yang disusun oleh Goldman Sachs, dan dikeluarkan oleh syarikat subsidiari 1MDB, dengan cara komisen dan bersubahat terhadap kenyataan palsu atau mengelirukan untuk menyalahgunakan berbilion hasil bon," kata Peguam Negara Tommy Thomas.

Goldman Sachs juga telah tampil dalam perbicaraan rasuah 1MDB yang sedang berlangsung melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Pada awal kes Najib bulan lalu, ketua pendakwaan Gopal Sri Ram merujuk Goldman Sachs lima kali dalam penyataan pembukaannya.

Goldman Sachs mengenakan bayaran dengan mengatur tiga bon untuk 1MDB, hasil yang didakwa disalahgunakan untuk memberi manfaat kepada beberapa individu, termasuk Najib.

Goldman Sachs diwakili peguam yang hadir semasa prosiding kes Najib sementara ia bersiap untuk kesnya sendiri yang dibawa oleh kerajaan Malaysia.

Pada Januari lalu, ketua eksekutif Goldman Sachs, David Solomon meminta maaf kepada Malaysia kerana peranan Leissner dalam skandal 1MDB tetapi menegaskan bank itu telah melakukan hal yang sewajarnya.

"Sangat jelas bahawa rakyat Malaysia telah ditipu oleh banyak individu, termasuk ahli tertinggi kerajaan terdahulu," kata Solomon.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengatakan bahawa permintaan maaf itu tidak mencukupi dan kerajaan mahu pampasan daripada Goldman Sachs.

[Baca berita asal]