Skip to main
Logo Malaysiakini

'Jho Low kata hubungan Arab Saudi-M'sia penting untuk kuota haji'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low mencadangkan supaya projek usahasama antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International Ltd. (PSI) yang tidak aktif diubah bentuk usahasama bagi menjaga hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi.

Ini untuk penambahan kuota haji dan kerjasama keselamatan, demikian Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB dan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata idea untuk mengubah bentuk usahasama 1MDB dan PSI dari bentuk ekuiti kepada bentuk Nota Murabaha dicetuskan oleh Jho Low yang telah memberikannya dokumen berbentuk ‘talking points’.

Katanya, talking points yang antara kandungannya menyatakan, kerana perhubungan kerajaan dengan kerajaan, 1MDB tidak boleh menamatkan usahasama itu begitu sahaja kerana ia melibatkan hubungan dua hala antara Arab Saudi dan Malaysia.

“Jho Low juga ada memaklumkan kepada saya contoh hasil positif perhubungan ini seperti penambahan kuota haji dan kerjasama keselamatan.

“Oleh itu, untuk membolehkan 1MDB move forward (bergerak maju) dengan proses audit yang mesti dilengkapi pada 31 Mac 2010 Jho Low juga memaklumkan saya yang pihak PSI bersedia untuk mengubah bentuk JV (Joint Venture) ini kepada Nota Murabaha.

“Ini akan membolehkan 1MDB menerima kupon yang ‘predictable’ dan berisiko lebih rendah kepada 1MDB. Walaubagaimanapun, dalam perjanjian Murabaha ini, 1MDB perlu memberi langganan tambahan sehingga USD1 bilion kepada PSI,” katanya.

Membacakan penyataan saksi setebal 270 muka surat, saksi itu berkata pada awal tahun 2010 disebabkan operasi JVCo (1MDB-PSI) tidak aktif, PSI serta Jho Low dan Casey Tang (pengarah eksekutif 1MDB) telah mencadangkan kepadanya untuk menamatkan perjanjian JVCo dan sekaligus akan menukar pegangan ekuiti 1MDB dalam JVCo kepada Nota Murabaha bernilai USD1.2 bilion dengan kadar keuntungan 8.67 peratus setahun selama sebelas tahun.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata beliau bersetuju dan mengemukakan cadangan itu kepada ahli lembaga pengarah 1MDB (BOD) kerana beliau masih mahu memelihara hubungan baik antara dua negara selaras dengan kefahamannya bahawa itu adalah kehendak Najib.

“Maka saya pun membentangkan kepada BOD dan mereka bersetuju. Maka JVCo telah terbatal dan ditukarkan ke dalam bentuk bon Nota Murabaha bernilai USD1.2 bilion. Menurut Jho Low kepada saya, USD1.2 bilion telah dipersetujui di antara Datuk Seri Najib dan Raja Abdullah untuk memberi JVCo ini keuntungan sebanyak USD200 juta.

“Ini berdasarkan talking points dari Jho Low yang pernah saya lihat pada masa itu. Dalam masa yang sama, BOD sudah mengambil maklum atas isu JVCo dengan PSI ini.

“Seingat saya, pada masa ini Nik Faisal (Nik Faisal Ariff Kamil) sudah menyertai 1MDB sebagai CIO (Chief Investment Officer). Atas nasihat Jho Low, saya telah mengarahkan beliau untuk menguruskan pertukaran ini dan mengambil alih relationship dengan PSI daripada Casey Tang”.

Terdahulu, Shahrol Azral berkata dalam tempoh Oktober 2009 sehingga Februari 2010, beliau dengan bantuan daripada Casey Tang cuba mendapatkan maklumat mengenai JVCo untuk tujuan audit.

Katanya, pihaknya gagal mendapatkan maklumat yang cukup untuk diberikan kepada auditor iaitu Ernst & Young.

“Ini kerana kami gagal mendapatkan kerjasama daripada Patrick Mahony (pengarah PSI) dan Tarek Obaid (dari PSI). Mereka langsung tidak berminat melayan kami dan mereka lebih cenderung untuk berkomunikasi dengan Jho Low sahaja.

“Saya juga pernah berhubung dengan Jho Low untuk meminta pertolongan beliau mengenai isu ini. Saya ada minta Casey untuk mengaturkan perjumpaan BOD JVCo untuk memulakan aktiviti pelaburan JVCo seperti yang dirancang tetapi perjumpaan BOD JVCo ini tidak pernah berlaku.

“Pelbagai alasan diberikan kepada saya melalui Jho Low dan Casey, contohnya perlu ‘close the accounts’. Manakala dari segi operasi 1MDB-PSI (JVCo) pula, ia seolah-olah tertangguh dan masih tidak ada apa-apa JVCo BOD Meeting,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

- Bernama