Skip to main
Logo Malaysiakini

Siswa berhati bersih bersihkan pantai kotor

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Sekumpulan mahasiswa layak mendapat penghormatan awam kerana sanggup meredah udara tidak sihat dan berbahaya semata-mata ingin membersihkan pantai yang kotor.

Dalam acara pada 21 September lalu, kita-kira 300 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) pelbagai kampus turun padang membersihkan pantai-pantai berdekatan tempat belajar mereka.

Lokasi-lokasi operasi itu ialah Pantai Saujana di Port Dickson, Negeri Sembilan; Pantai Desaru di Kota Tinggi, Johor Bahru dan Pantai Tanjung Ara di Kota Kinabalu, Sabah.

Ia melibatkan pelajar dari UiTM Sabah, UiTM Segamat, UiTM Pasir Gudang dan UiTM Terengganu.

“Usaha ini adalah untuk mempromosikan ICC di seluruh Malaysia dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang isu-isu pencemaran dan kemerosotan kehidupan marin. 

"Pergerakan ini menunjukkan komitmen kami ke arah matlamat tersebut.

“UITM mengusahakan lebih daripada 300 pelajar untuk sertai pada tarikh itu demi pembuangan serpihan laut.

“Kami harap banyak lagi organisasi dan universiti akan datang. Dunia tidak boleh tunggu lagi, mari membuat perbezaan yang positif,” kata pengurus projek Pembersihan Pantai Antarabangsa (ICC) UiTM Norshiha Saidin kepada Malaysiakini.

ICC adalah sebuah program pembersihan komuniti yang bermula di Amerika Syarikat lebih 30 tahun dahulu di Amerika Syarikat.

Populariti kempen yang diasaskan oleh dua aktivis - Linda Maraniss dan Kathy Kathy O’Hara - kini menjadi aktiviti tahunan di pelbagai tempat, termasuk Malaysia.

Sementara itu, Norshiha memberitahu portal ini, mereka terpaksa menangguhkan acara di kawasan Pelabuhan Klang susulan keadaan jerebu yang lebih teruk di kawasan itu.

Pelajar sendiri, bagaimanapun, katanya begitu bersemangat dan enggan acara di Pulau Ketam dibatalkan.

“Semasa saya umumkan penundaan tarikh bagi Pulau Ketam, mereka bantah kerana mereka sangat bersemangat untuk mengadakan aktiviti itu.

“Disebabkan jerebu, kami tidak mahu permasalahan dan konflik berlaku kepada pelajar kami” tambah Norshiha.

Selain pelajar, terdapat juga orang awam menyertai acara itu, kata Norshiha.

UiTM baru terlibat dengan ICC dan berminat memperluaskan acara itu dan menjadikannya acara tahunan.

Mereka menyasarkan melibatkan 170,000 kakitangan dan pelajar di 35 kampus yang ada.