Skip to main
Logo Malaysiakini

Rangkaian seludup pendatang lumpuh, ketua sindiket ditangkap

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis berjaya melumpuhkan rangkaian sindiket penyelundupan manusia yang melibatkan penyeludupan pekerja Myanmar ke Malaysia baru-baru ini.

Menurut Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Bukit Aman Cheong Koon Kock, dalam operasi dari 22 hingga 25 September di 12 lokasi sekitar Lembah Klang, Kelantan, Pahang dan Pulau Pinang itu, seramai 77 suspek ditahan.

Ini termasuk enam warga tempatan dan 71 warga Myanmar.

“Enam warga tempatan itu termasuk ketua sindiket dan pembantunya iaitu lima ejen pengangkut, manakala daripada 77 rakyat Myanmar, 66 merupakan migran yang diseludup dan lima ialah ejen pengangkut.

“Kami percaya kami berjaya melumpuhkan sindiket untuk menjadikan Malaysia destinasi (penyeludupan manusia) yang dikesan sejak April 2019, dan merentas Malaysia, Myanmar dan Thailand,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Dalam operasi sama, seorang pengangkut ditembak mati pada 24 September setelah enggan memberikan kerjasama ketika tangkapan dibuat di Puchong sehingga memaksa polis melepaskan tembakan.

Tambahnya, sindiket itu turut dipercayai memiliki senjata api dan turut terlibat dalam penjualan dadah.

Kesemua 11 warga tempatan dan Myanmar yang dipercayai mempunyai peranan dalam melakukan sindiket itu ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) manakala 66 lagi mingran Myanmar yang diseludup ditahan bawah Akta Imigresen 1959/1963.