Skip to main
Logo Malaysiakini

'1MDB suntik AS$1.83 bilion dalam PSI & Good Star'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

KES 1MDB NAJIB l Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa jumlah keseluruhan dana yang disuntik 1MDB ke dalam PetroSaudi International Limited (PSI) dan Good Star Limited (yang didakwa milik Low Taek Jho atau Jho Low) adalah AS$1.83 bilion.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB dan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, ketika membacakan penyataan saksinya berkata daripada jumlah itu, dana bagi pinjaman AS$500 juta dan AS$330 juta kepada PSI adalah daripada Syndicated Bridging Loan (pinjaman jangka pendek) bernilai RM2.5 bilion yang dibuat dengan Ambank dan Standard Chartered.

Ia berikutan kedua-dua bank itu yakin dengan kekuatan kewangan 1MDB yang ditanggung Kerajaan Malaysia (MOF Inc).

Shahrol Azral berkata berikutan itu beliau merasa tidak selesa kerana ia membabitkan pelaburan yang besar, sehubungan itu meminta ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low mencari jalan bagaimana untuk menyegerakan PSI melaburkan kembali wang berkenaan di Malaysia.

“Sekurang-kurangnya ia dapat dibawa pulang ke Malaysia kerana banyak projek 1MDB di Malaysia sedang berjalan. Jho Low mengambil maklum dan memberitahu saya beliau akan cuba membawa pulang duit itu.

“Saya banyak kali menekankan beliau namun beliau masih memberikan maklum balas sama, sehingga saya mendapat berita mengenai isu 1MDB membabitkan PSI,” kata saksi pendakwaan kesembilan itu.

Tambahnya, beliau amat keliru kerana semua tranksaksi dibuat berdasarkan pelaburan antara kerajaan kepada kerajaan (G to G) dan disokong penuh Kerajaan Malaysia melalui mandat diberikan Perdana Menteri (Najib).

"Seingat saya, banyak perbincangan mengenai pelaburan dengan PSI diadakan oleh Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB sejak tahun 2010 lagi… boleh dikatakan BOD mahu pelaburan dengan PSI dibawa pulang untuk projek-projek tempatan," katanya pada perbicaraan kes Najib yang masuk hari ke-14.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

- Bernama