Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Hentikan kenyataan liar kes tembakan di Rawang’

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis menyeru semua pihak berhenti membuat kenyataan berhubung kes tembakan di Batu Arang, Rawang yang mengorbankan tiga nyawa pada 14 September lalu.

Ketua Penolong Pengarah (D5) Pendakwaan/ Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid meminta tiada kenyataan liar dibuat supaya inkues nanti berjalan adil.

“Dalam inkues semua keterangan akan didedahkan.

“Tunggu inkues ini, semua ini (termasuk rakaman kamera papan pemuka atau dashcam) adalah sebahagian daripada penyiasatan.

“Saya minta kerjasama mereka untuk tak lagi mengeluarkan kenyataan liar, supaya dapat (berlaku) adil.

“Ia akan dibawa ke mahkamah dan didedahkan, jadi setiap orang mempunyai hak untuk menonton video jika ada," katanya.

Keluarga G Thavaselvan, salah seorang mangsa terbunuh, mendakwa apa yang berlaku sebagai kes "penculikan dan pembunuhan".

 

Polis pula mendakwa mangsa enggan memberhentikan kenderaan dalam pemeriksaan sehingga memaksa polis untuk mengejar mereka.

Polis berkata, Thavaselvan, S Mahendran, dan suami Moganambal V Janarthanan ditembak mati selepas mereka melepaskan tembakan terlebih dahulu.

Janarthanan memegang status penduduk tetap Britain. Dia dan keluarganya memasuki Malaysia pada bulan lalu atas alasan melawat saudara sakit.

Polis bagaimanapun berkata bahawa tiada rekod ketibaan Janarthanan di mana-mana pintu masuk negara dan dia dikehendaki atas sebab merompak di sebuah tapak pembinaan di Sentul pada 2016.

Keluarga tersebut turut mendakwa Moganambal keluar untuk makan malam bersama ketiga-tiga individu tersebut, sehari sebelum insiden itu.

Polis pula menegaskan bahawa Moganambal tidak berada dalam kereta ketika ketiga-tiga lelaki itu ditembak mati.