Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengambilalihan Uber dengan niat baik, kata Grab

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Grab Holdings berkata pengambilalihan Uber tahun lalu dilakukan dengan niat baik, dan ia tidak menyedari sebarang pelanggaran undang-undang Malaysia.

The Edge memetik jurucakap Grab sebagai berkata bahawa syarikat mereka juga telah bekerjasama sepenuhnya dengan permintaan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang mahu mendapatkan maklumat lanjut.

Perkembangan itu susulan laporan Bloomberg semalam bahawa MyCC telah menggiatkan siasatan ke atas Grab, yang dimulakan tahun lepas.

Bagaimanapun, ketua pegawai eksekutif MyCC Iskandar Ismail tidak memperincikan pendekatan siasatan yang diambil oleh suruhanjaya itu.

Akta Persaingan memberi kuasa kepada MyCC untuk menyiasat penggabungan yang membawa kepada monopoli.

Sebelum ini, Singapura mendenda Grab dan Uber sebanyak SG$13 juta untuk penggabungan itu, kerana dikatakan dengan ketara mengurangkan persaingan dalam sektor e-hailing.

Pengambilalihan Uber oleh Grab pada Mac tahun lepas menyaksikan kedua-dua syarikat menggabungkan operasi mereka di seluruh Asia Tenggara.

Di Malaysia, penggabungan itu menjadikan Grab penyedia e-hailing dominan di negara ini, walaupun terdapat penyedia perkhidmatan lain seperti MyCar.

Pesaing terdekat Grab di rantau ini, Gojek, juga dijangka bersedia untuk masuk pasaran negara ini.