Skip to main
Logo Malaysiakini

Kata Vohanes, sekarang susah tangkap ketam

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

ULASAN | Kata Vohanes Azmi, sekarang ketam sudah susah untuk ditangkap. Walaupun harga sekilogram boleh mencecah puluhan ringgit, hendak dapat sekilo dalam satu tangkapan pun susah.

Tambah Vohanes lagi, tempat pencarian sumber rezeki mereka yang dahulunya hutan bakau telah perlahan-lahan diganti bangunan batu.

Dia tertunduk sedih.

Tiba-tiba dia mengangkat semula muka seraya berkata, sambil ketawa, “Tapi kadang-kadang bagi menampung punca pendapatan, kami tangkap labi-labi.

“Labi-labi sedap, lebih sedap dari isi ayam dan lebih sedap lagi jika dimasak kari. Lemak manis rasanya!”

Vohanes bercerita tentang pengalamannya sebagai orang laut. Dia bekerja menangkap ikan, ketam dan labi-labi.

Dia juga mengambil upah mengambil kupang. 

Jam 8 malam dia akan mengambil kupang di beberapa lokasi yang dikenal pasti sehingga jam 12 malam.

Setelah pulang jam 12, dia membersihkan kupang tersebut sehingga jam 3 pagi.

Pada jam 6 pagi, Vohanes bangun untuk mempersiapkan kupang-kupangnya sebelum dihantar kepada peraih yang akan membawa ke pekan dan dijual.

Begitulah rutin hidupnya sehari-hari. Kata Vohanes, hidup harus diteruskan.

Dia remaja 14 tahun yang sangat riang dan suka menyakat rakan-rakan. Vohanes tercicir pelajaran dari sekolah arus perdana.

Pembelajarannya bukan sebuah silibus daripada kementerian pendidikan tetapi pembelajarannya adalah dari sifat alami yang datangnya daripada alam.

Namun sedikit beruntung buat Rambo, teman sekampung Vohanes.

Walaupun rutin sehariannya juga seperti Vohanes, Rambo Syen berjaya menamatkan pembelajarannya sehingga memperoleh SPM.

Kata Rambo, dia sangat mengimpikan untuk menyambung pelajarannya ke universiti, tapi usinya kini sudah mencecah 29 tahun dan dia tidak berkemampuan dari segi ekonomi.

Selain Vohanes dan Rambo, Kem Ghafar Baba di Kemensah, Ampang menghimpunkan puluhan anak muda pelbagai negeri dalam kursus latihan kepimpinan yang diilhamkan Timbalan Ketua Pemuda PKR (AMK) Hilman Idham.

Program yang tamat pada 22 September lalu turut melibatkan dua lagi Orang Asli - Alex dan Kisen.

Alex, 21, atau nama sebenarnya Alexsinar Rahi seorang yang bermuka bengis, berbadan sasa tetapi tidak gemar bercakap.

Perkara pertama, bertapa dalam hutan

Tubuh badannya seakan memberikan sebuah signal bahawa untuk mencapai tahap kehidupan yang tinggi apa yang diperlukan adalah sebuah usaha tanpa rasa kesal.

Di akhir pertemuan, akhirnya Alex berjaya melontarkan senyum kepada saya.

Dia memberitahu bila dia pulang ke kampung nanti, perkara pertama untuk dia lakukan adalah bertapa dalam hutan.

Alasannya mudah. Bagi membina keyakinan diri untuk meneruskan hidup tanpa kebergantungan kepada sesiapa kerana hutan bukannlah sebagian kehidupan alaminya.

Jadi itu bakal menjadi cabarannya.

Mengurus jenazah antara pengisian dalam acara itu

Yang paling tidak banyak bercakap ialah Kaisen, seorang ahli kumpulan saya sendiri, dia lebih suka senyum dan sesekali bercerita.

Misalnya tentang kampung mereka, Kampung Kuala Masai, Johor.

Kata Kaisen walaupun Kampung Kuala Masai itu sedikit mengalami perubahan alami seperti cara penempatan yang tidak lagi tinggal dalam rumah atas air dan mempunyai beberapa kemudahan lain seperti rumah ibadat tetapi kemudahan elektrik masih lagi tidak efisien.

Tambah Kisen lagi mereka masih janggal untuk keluar dan berkerja di kilang perindustrian.

Mereka tidak mempunyai modal yang cukup untuk memulakan perniagaan besar serta tidak mampu membeli peralatan penangkapan ikan yang moden.

Tetapi, kata Kisen lagi, mereka tetap bahagia. Mereka percaya pada suatu hari nanti mereka juga akan bisa maju seperti orang lain.

Vohanes, Rambo, Alex dan Kisen adalah orang Seletar- satu daripada 18 suku yang membentuk kaum Orang Asli di Malaysia.

Mereka tergolong dalam kumpulan Melayu Proto - satu daripada tiga kumpulan utama kaum Orang Asli. Mereka bertutur Bahasa Orang Seletar.

Orang Seletar dipercayai berasal dari Pulau Seletar dan Seletar, Singapura. Mereka ialah penduduk pribumi Singapura dan antara yang terawal menetap di pulau tersebut.

Meskipun Orang Seletar pada asalnya ialah sebahagian daripada kaum Orang Laut, namun kini kerajaan Malaysia telah mengkategorikan suku mereka sebagai sebahagian daripada kaum Orang Asli.


ARAFAT HAMBALI, penulis Kepak-kepak Malam dari Sorga dan Sayap V. Pemenang Hadiah Sastera Selangorkini 2015 dan Alumni Angkatan ke-6 KGB.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.