Skip to main
Logo Malaysiakini

Keluarga Adib lega, kini mahu pihak bertanggungjawab diadili

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang terkorban selepas rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada tahun lepas, lega dengan keputusan inkues hari ini dan kini mahu pihak yang bertanggungjawab segera dibawa ke muka pengadilan.

Ibu Allahyarham, Asma Aziz, 52, berkata walaupun bersyukur dengan keputusan itu, dia tetap bersedih kerana individu yang menyebabkan kematian anaknya itu masih belum dapat ditangkap lagi.

“Walaupun lega dengan keputusan adil ini, anak saya tetap tiada. Jadi, saya harap individu yang terlibat dapat diheret ke mahkamah dan kalau boleh, saya mahu lihat muka individu yang memukul anak saya itu.

“Pasal hukuman, biarlah mengikut undang-undang tetapi yang penting individu yang menyebabkan kematian arwah dapat ditangkap,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, dekat Alor Setar hari ini.

Asma berkata, dia mengetahui tentang keputusan inkues itu hari ini menerusi ahli keluarganya selepas Mahkamah Koroner memutuskan kematian anaknya itu adalah akibat perbuatan jenayah.

“Sebaik dimaklumkan, saya dan suami (Mohd Kassim Abd Hamid) menangis dan alhamdulillah, doa kami sekeluarga dimakbulkan. Ini juga berkat doa daripada rakyat Malaysia yang tidak pernah putus memberi sokongan, jadi saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua.

“Kalau diikutkan, kami memang mahu pergi mendengar keputusan hari ini tetapi disebabkan rasa takut dan perasaan yang bercampur kami tidak jadi pergi. Tapi selepas solat Jumaat hari ini kami akan pergi ke sana untuk berjumpa dengan ahli keluarga yang lain,” katanya.

Sementara itu, bapa arwah, Mohd Kassim, 64, berkata dia bersyukur kerana walaupun berduka dengan kemalangan yang berlaku kepada anaknya, kegembiraan itu hadir juga selepas keputusan inkues memihak kepada keluarganya.

Terdahulu hari ini, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Mahamariamman USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov lepas adalah akibat perbuatan jenayah oleh lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Koroner Rofiah Mohamad yang mendengar prosiding inkues selama 41 hari bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib berkata mahkamah menerima keterangan saksi ke-29, Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian.

Muhammad Adib yang merupakan anggota bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya meninggal dunia pada 17 Dis lepas selepas 21 hari bertarung nyawa susulan insiden berkenaan.

- Bernama