Kes Adib: Polis akan hadap individu bertanggungjawab ke muka pengadilan
Kerajaan menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meneruskan siasatan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang terkorban selepas rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, tahun lepas, mengikut undang-undang jenayah negara.
Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan menerima keputusan inkues kematian Allahyarham Muhammad Adib, yang diputuskan Mahkamah Koroner semalam bahawa kematiannya adalah akibat perbuatan jenayah oleh lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.
“Saya percaya PDRM akan menyiasat kes ini secara terperinci dan sebaik mungkin untuk memastikan mereka yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi miliknya hari ini.
Koroner Rofiah Mohamad, yang mendengar prosiding inkues selama 41 hari bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib, berkata mahkamah menerima keterangan saksi ke-29, Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian.
Mahkamah turut menyerahkan kepada PDRM dan Peguam Negara untuk melakukan sisatan dan pendakwaan.
Muhammad Adib, yang merupakan anggota bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, meninggal dunia pada 17 Dis lepas selepas 21 hari bertarung nyawa susulan insiden berkenaan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai