Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri: Hutang langsung naik sebab k'jaan tidak 'biaya luar belanjawan'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Keengganan kerajaan untuk menggunakan kaedah "pembiayaan luar belanjawan" bagi menyembunyikan hutang meragukan antara punca hutang langsung kerajaan telah meningkat daripada 50.1 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017 kepada 51.2 peratus pada 2018, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng

Pada masa sama beliau memaklumkan jumlah hutang dan liabiliti kerajaan telah menurun daripada 79.3 peratus berbanding KNDK pada 2017 kepada 75.4 peratus pada 2018.

"Hutang langsung meningkat...untuk membiayai defisit kewangan secara langsung tanpa kerajaan perlu menggunakan kaedah pembiayaan luar belanjawan untuk menyembunyikan hutang meragukan seperti yang diamalkan oleh pentadbiran dahulu," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu LIm berkata jaminan kerajaan meningkat disebabkan projek yang sedang berjalan, seperti MRT2 dan Lebuhraya Pan-Borneo (menerusi DanaInfra) dan LRT3 (menerusi Prasarana).

"Kerajaan sedar bahawa projek tersebut bakal meningkatkan jumlah jaminan kerajaan secara ketara dalam tahun-tahun akan datang. Oleh itu kerajaan telah berjaya merunding semula kos projek mega tersebut," katanya lagi,

Beliau berkata sebahagian besar daripada hutang dan liabiliti kerajaan yang berjumlah RM1.087 trilion sejak akhir 2017 "sengaja disembunyikan ataupun dipaparkan sebagai perkara luar belanjawan oleh pentadbiran terdahulu".

"Ini termasuk hutang 1MDB sebanyak RM38.3 bilion yang didapati telah dibayar balik secara rahsia oleh kerajaan BN pada ketika itu," katanya lagi.

Katanya lagi, liabiliti lain sebanyak RM260.1 bilion termasuk perbelanjaan kerajaan luar belanjawan yang dinyatakan sebagai “kerjasama awam swasta (PPP)” atau “inisiatif pembiayaan swasta (PFI)”, walaupun kerajaan menanggung semua kos pembiayaan, risiko dan obligasi projek tersebut.

"(Maka) PPP dan PFI disalahgunakan oleh kerajaan BN untuk memberi tanggapan palsu bahawa defisit belanjawan adalah rendah dan diiringi oleh paras keberhutangan yang lebih rendah," katanya.

Lim berkata kerajaan sekarang telah mendapat pengiktirafan daripada agensi penarafan antarabangsa dan penganalisis pelaburan atas peningkatan dalam ketelusan dan tahap tadbir urus yang baik.

Pada masa sama, katanya lagi, kerajaan sedang berusaha untuk mendapatkan kembali aset untuk dana yang telah diselewengkan daripada 1MDB di serata dunia.

“Walaupun dibebani kekangan yang ditinggalkan pentadbiran terdahulu, kerajaan tetapi komited terhadap usaha konsolidasi fiskal, dan pada masa sama memastikan Malaysia kekal berkembang secara mampan, walaupun suasana ekonomi global lemah," katanya lagi.