Skip to main
Logo Malaysiakini

'Dr M hadir Kongres Maruah Melayu kerana ancaman munafik'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bakal menyampaikan "amanat terakhir" dalam Kongres Maruah Melayu pada bulan hadapan di tengah-tengah ancaman golongan "munafik" yang menyebarkan fitnah dan provokasi untuk mengancam perpaduan negara, kata Anggota Majlis Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na'aman. 

"Tohmahan demi tohmahan dilontarkan kepada Dr Mahathir yang terus menggagahkan diri rajin bekerja demi rakyat dan negara.

"Tatkala pihak antarabangsa terutama dunia Islam mengkagumi kepimpinan beliau, namun masih ada Melayu-Melayu munafik yang melemparkan fitnah serta cercaan terhadapnya demi mencapai suapan dalam politik.

"Inilah wajah sebenar politik Malaysia pada hari ini. Kita berada suatu titik yang akan menentukan hala tuju negara sama ada ke arah kehancuran perpaduan rakyat atau ke arah kemajuan yang patut dinikmati bersama.

"Bila-bila masa saja pertumpahan darah boleh terjadi akibat penyebaran fitnah, provokasi serta hasutan di media-media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Kata Muhammad Faiz (gambar, bawah) atas sebab inilah Dr Mahathir akan menyampaikan pesanannya kepada masyarakat Melayu.

"Maka menyedari keutuhan perpaduan nasional kian terancam, Perdana Menteri Malaysia ketujuh Dr Mahathir telah menyeru agar semua warganegara Malaysia yang bergelar Melayu dan Muslim di negara ini tanpa mengira ideologi politik, NGO, korporat atau orang perseorangan untuk turun beramai-ramai dengan ikhlas mengimarahkan Kongres Maruah Melayu 6hb Oktober nanti bagi mendengar amanat "terakhir" dari negarawan legenda kita tersebut," katanya lagi.

Muhammad Faiz berkata manakala perbezaan pendapat di kalangan masyarakat Melayu adalah suatu hal yang biasa tetapi terdapat pihak yang mencetuskan provokasi menggunakan isu-isu perkauman, kenegerian dan keagamaan.

"Lebih-lebih lagi jika pihak tersebut ialah pihak yang telah ditolak oleh majoriti rakyat dalam PRU lalu kerana korup, khianat terhadap amanah yang diberi dan membelakangkan undang-undang negara.

"Pihak tersebut sudah tentunya terdesak untuk berkuasa kembali setelah berdekad hidup kenyang sesama kroni dengan memperkudakan sentimen keMelayuan dan keIslaman di pentas politik.

"Walhal yang paling kenyang antara mereka adalah Jho Low yang merupakan rakan niaga kepercayaan 'Bossku' pujaan pentaksub parti keramat tersebut," jelasnya.

Menurutnya lagi, pihak berkenaan menyebarkan mesej Melayu dan Islam telah kehilangan kuasa, DAP yang memerintah negara serta PH telah mungkir janji.

Kata Faiz, pihak tersebut menggunakan nama "perpaduan ummah" sebagai perisai untuk melindungi para pemimpin yang sedang disiasat kerana rasuah dan jenayah lain.

"Pokoknya, golongan yang kalah dan kecewa itu kian lemas dalam menjuarai isu-isu secara rasional dan jujur hingga akhirnya mereka mengambil pendekatan yang emosional.

"Melayu dan Muslim sekali lagi terus cuba diperbodohkan oleh kelompok pejuang palsu yang mendabik dada kononnya merekalah yang mempertahankan Islam dan bumiputera selama ini, kononnya merekalah harapan Melayu Muslim di negara ini, tiada alternatif lain," katanya lagi.

Anggota MT Bersatu itu selanjutnya berkata Dr Mahathir akan menjelaskan cabaran-cabaran ini pada kongres tersebut.

Majlis ini anjuran Pusat Kecemerlangan Melayu Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya.

Kongres ini akan membincangkan isu-isu pendidikan, agama, budaya, politik dan ekonomi dari perspektif orang Melayu.

Majlis akan berlangsung pada 6 Oktober di Stadium Arena Axiata dengan kerjasama UTM, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).