Ketirisan 1MDB melalui pemindahan dana dipinjam, dedah saksi
KES 1MDB NAJIB l “Kini saya sedar bahawa corak ketirisan oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dari 2009 hingga 2013 apabila sentiasa meminjam dana untuk projek yang kononnya baik untuk negara dan kemudian memindahkan pula beberapa dana yang dipinjam itu,” bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB mendedahkan perkara ini di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, hari ini.
Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata sejak bertahun, cara yang digunakan itu telah diperhalusi dan diketatkan, dalam erti kata bahawa hujah dan mandat yang ketat untuk menambah dana dan memberi ruang yang kurang untuk perbincangan di mesyuarat pengurusan dan Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB.
“Contohnya, semasa projek Usahasama PetroSaudi International (PSI) 2009 , terdapat beberapa perbincangan di peringkat BOD untuk pelaburan itu. Bertentangan ini dengan dana pelaburan bersama US$6 bilion 2013 dengan International Petroleum Investment Co (IPIC)-Abu Dhabi Malaysia Investment Company (ADMIC) yang dilaksanakan hanya menerusi Resoulusi Pekeliling Pengarah (DCR) dan Resolusi Pemegang Saham,” katanya.
Membacakan penyataan saksinya setebal 270 muka surat, saksi penting pendakwaan itu berkata secara keseluruhannya, Datuk Seri Najib Razak mempunyai peranan rasmi dalam meluluskan usahasama 1MDB dengan Aabar Investment PJS (Aabar).
Katanya, ia bermula sejak awal lagi pada tahun 2009 yang mana setiap kali ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho Low atau Jho Low memberikan arahan yang kritikal daripada Najib, beliau (saksi) akan membuat semakan semula dengan Najib dan ia sentiasa konsisten dan disahkan oleh bekas Perdana Menteri bahawa ia perlu dilaksanakan.
“Maka rentetan itulah setiap kali arahan daripada Jho Low diterima, maka ia adalah sebagai mandat Article 117 M&A (1MDB) yang diturunkan oleh Datuk Seri Najib kepada Jho Low.
Ditambahkan lagi konsistensi antara pelan perancangan (melalui emel sulit) Jho Low yang akan disusuli oleh kuasa Datuk Seri Najib sebagai contoh, Letter of Support dari MOF untuk terbitan bon US$3 bilion. Jho Low tiada kuasa tetapi beliau diberi mandat oleh Datuk Seri Najib untuk mengatur perancangan dari belakang 1MDB.
Saya yakin dan percaya sekiranya tiada campur tangan dan kebenaran daripada Datuk Seri Najib sudah semestinya ini semua tidak berlaku,” katanya.
Menceritakan mengenai penjanjian lain oleh 1MDB, Shahrol Azral juga berkata pada tahun 2012 setelah menamatkan perjanjian Murabaha dengan PSI, 1MDB telah membeli 49 peratus ekuiti dalam syarikat PSOSL iaitu anak syarikat kepada PSI.
Katanya, pelaburan 1MDB dalam PSI dari bentuk nota murabaha telah ditukar kepada pegangan ekuiti dalam syarikat milik PSI iaitu PetroSaudi Oil Services (PSOSL).
Beliau berkata, perbincangan itu dibuat antara 1MDB (yang diwakilkan oleh Jasmine Loo peguam 1MDB)) dan PSI.
“Jho Low telah membantu mengadakan perbincangan ini. 1MDB akan membeli 49 peratus saham syarikat PSOSL dengan menukarkan nilai nota murabaha, yang pada masa itu kira-kira US$ 2,222 juta kerana tambahan nilai kupon yang belum dibayar oleh PSI kepada 1MDB.
Penukaran bentuk pelaburan ini adalah supaya wang asal pelaburan 1MDB ke dalam PSI yang berjumlah US$1,830 juta boleh direpatriate secara berperingkat untuk digunakan oleh projek-projek 1MDB yang lain.
Oleh kerana isu ini banyak dibincangkan dalam mesyuarat BOD, apabila DCR untuk penukaran diedarkan, ahli BOD semua setuju kerana ini adalah satu step forward dalam resolusi isu PSI ini, walaupun pertukaran ini tidak ada dibentangkan dalam mana-mana mesyuarat BOD,” katanya.
Saksi penting pendakwaan itu berkata, semua urusan pengambilahan PSOSL ini diuruskan oleh Jasmine Loo, atas pengalaman beliau dalam hal-hal korporat dari segi undang-undang.
Katanya, Jho Low juga ada memberi talking points mengenai transaksi itu dan beliau berpuas hati kerana memberikan “comfort” yang wang 1MDB dalam PSI akan dibawa pulang melalui penjualan ekuiti PSOSL kepada fund Bridge Partners International Investments Limited yang akan memberi pulangan dan tunai kepada 1MDB.
“Bridge Partners ini sepatutnya akan memasukkan ekuiti PSOSL ini dalam satu quoted fund yang membolehkan 1MDB menjual sebahagian daripada dana ini untuk membawa pulang tunai.
Transaksi jual-beli ini berlaku dalam masa yang singkat kerana memang dirancang begitu. Tujuan mutlamat disposal Murabaha Notes ini adalah untuk membawa pulang dana 1MDB.
Oleh kerana penglibatan Jho Low sebagai trusted advisor kepada Datuk Seri Najib, saya beranggapan yang Datuk Seri Najib tahu dan setuju dengan cadangan ini yang memang bagi saya, satu penyelesaian yang elegant yang mendatangkan manfaat kepada 1MDB dan PSI serta hubungan kerajaan Malaysia dan Arab Saudi,” katanya.
Saksi itu berkata, beliau tidak terlibat secara langsung dalam transaksi pertukaran itu, bagaimanapun, Jasmine Loo samada secara peribadi atau melalui Jho Low, ada memberi taklimat kepada pemegang saham 1MDB iaitu Najib, berdasarkan tandatangan Najib yang memberikan kelulusan bertulis.
“Cara kendalian transaksi ini adalah konsisten dengan talking points yang dihantar oleh Jho Low melalui e-mel kepada saya dan Jho Low juga ada menyatakan yang dia ada mendapatkan persetujuan Datuk Seri Najib,” katanya pada hari ke-16 perbicaraan kes Najib melibatkan dana 1MDB.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di Kuala Lumpur antara 24 Feb, 2011 dan 19 Dis, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai