Skip to main
Logo Malaysiakini

Korea Utara lancar peluru berpandu jarak dekat

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

GLOBAL | Korea Utara melancarkan peluru berpandu jarak dekat ke Laut Timur pada Rabu, ketika usaha memulihkan kembali rundingan pelucutan senjata nuklear dengan Amerika Syarikat (AS) semakin menampakkan hasil, lapor agensi berita Yonhap.

Peluru berpandu itu dilancarkan dari kawasan di bandar pantai timur Wonsan, kata Ketua Pegawai Turus Bersama (JCS) Korea Selatan tanpa memberi butiran lanjut.

Menurut sumber, Korea Utara dipercayai melancarkan dua peluru berpandu dan satu daripadanya dikesan JCS pada pukul 7.11 pagi.

"Tentera kami sedang memantau keadaan dan sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan," kata JCS dalam satu kenyataan.

Menurut laporan media asing, Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Yoshihide Suga dalam satu sidang akhbar berkata, Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu balistik dan satu daripadanya jatuh ke dalam zon ekonomi eksklusif negara itu.

Pelancaran itu berlaku sehari selepas wakil Menteri Luar Korea Utara Choe Son Hui berkata, Pyongyang dan Washington telah bersetuju untuk menyambung semula rundingan peringkat pegawai minggu ini.

Jabatan Negara AS menyatakan kedua-dua pihak merancang "mengadakan perbincangan minggu depan."

Rundingan pelucutan senjata nuklear terhenti sejak sidang kemuncak antara Presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di Hanoi pada Februari berakhir tanpa sebarang kata sepakat.

-Bernama