Wajah Samirah bersahaja ketika suaminya di bilik terbakar, kata saksi
Seorang saksi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di Shah Aalam, bahawa balu kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund), Nazrin Hassan, mempamerkan riak wajah bersahaja, ketika anggota bomba tiba di sebuah rumah di Mutiara Homes, Petaling Jaya, bagi memadamkan kebakaran pada 14 Jun tahun lalu.
Saksi ke-9 kes itu, Mohamad Afzan Majid, 50 berkata, ketika tiba di rumah tersebut beliau melihat Samirah Muzaffar, di pintu utama rumah tersebut yang menunggu ketibaan pasukan bomba tanpa sebarang reaksi sama ada menangis, meratap atau meraung ketika suaminya berada dalam sebuah bilik yang terbakar di rumah tersebut.
Beliau yang merupakan pegawai bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Damansara itu berkata demikian, ketika memberi keterangan berhubung kes kematian Nazrin di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman, di Shah Alam.
"Ketika saya dan pasukan bomba tiba di rumah mangsa untuk memadamkan kebakaran yang berlaku di bilik utama rumah itu, saya melihat tertuduh (Samirah) di hadapan pintu utama rumah dengan wajah bersahaja.
"OKT (Samirah) juga tidak lari keluar dari rumah itu ketika berlaku kebakaran di tingkat atas bilik utama rumah berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika di soal Timbalan Pendakwa Raya, Asyhraf Ashy’ari Kamaruzaman, berhubung reaksi Samirah ketika pasukan bomba tiba di rumah berkenaan untuk memadamkan kebakaran.
Mohamad Afzan berkata ia juga merupakan kali pertama beliau melihat seorang individu yang tidak menunjukkan sebarang reaksi sedih apabila berlakunya kebakaran yang membabitkan kematian.
"Saya telah menjadi anggota bomba selama 22 tahun dan saya telah bertugas memadamkan kebakaran lebih 500 kali termasuk kebakaran yang membabitkan kematian.
"... dan sepanjang penugasan saya juga, saya tidak pernah melihat orang tidak menangis, tidak meraung dan tidak meratap apabila berlaku kematian dalam kes kebakaran, " katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata Samirah juga merayu kepadanya untuk melihat mayat suaminya yang berada di atas katil di dalam bilik yang terbakar, selepas api dipadamkan.
Mohamad Afzan berkata beliau kemudian mengiringi tertuduh melihat mayat Nazrin selepas mendapat kebenaran dari penyelia operasi.
"Saya melihat tertuduh melutut dekatkan diri dengan mayat seorang lelaki dan dia pandang ke arah kepala mangsa dalam tempoh lima minit.
"Bagaimanapun, saya tidak tahu reaksi wajah tertuduh kerana saya berada di belakang (tertuduh) cuma nampak kepala tertuduh bergerak ke kiri kanan,” katanya.
Katanya, selain Samirah, beliau turut melihat ada individu lain di dalam rumah tersebut iaitu dua wanita berusia lingkungan 40-an dan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun apabila turun ke tingkat bawah rumah.
Beliau berkata dua wanita yang tidak dikenalinya itu berada di meja makan di ruangan dapur.
"Selepas saya dan pasukan selesai memadamkan kebakaran dan turun ke bawah, saya juga melihat tertuduh ke dapur dan membuat susu yang saya percaya untuk kanak-kanak berkenaan," katanya.
Pada 3 Ogos tahun lepas, kematian Nazrin, 47, diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.
Berikutan itu, Samirah, 44, yang merupakan bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun, didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh lelaki berkenaan.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.
Pihak pendakwaan kes itu diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor Datuk Salim.
Samirah pula diwakili peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah, manakala kedua-dua remaja itu diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai