Nak bincang apa lagi? - TPM jawab isu peralihan kuasa
Tidak ada keperluan untuk membincangkan soal pelan peralihan kuasa perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak lama lagi, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Aziah Wan Ismail.
Walaupun mengakui tidak mengetahui secara terperinci tentang agenda mesyuarat itu nanti, Dr Wan Azizah bagaimanapun berkata soal peralihan kuasa perdana menteri adalah satu hal yang sudah dipersetujui bersama.
“Saya rasa ia sudah dipersetujui bersama. Jadi saya rasa, nak bincang apa lagi?” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Yayasan MyStemi di TPC Kuala Lumpur.
Beliau mengulas soalan pemberita tentang kemungkinan isu peralihan kuasa perdana menteri kepada presiden PKR akan dibincangkan pada mesyuarat yang akan datang.
Sehubungan itu, Dr Wan Azizah berkata, isu berkenaan tidak harus dibangkitkan lagi oleh mana-mana pihak.
Katanya, ada banyak lagi isu lebih penting yang sepatutnya menjadi tumpuan untuk menambah baik keadaan negara berbanding isu peralihan kuasa perdana menteri.
“Isu ni tak ada timbul, tapi dibangkit-bangkitkan, (oleh itu) dia jadi isu.
“Patutnya kita ada isu lain, isu jantung, isu nak memperbetulkan dan membaiki negara kita.
“Sudahlah, isu itu sudah selesai. Kita ada perjanjian. Mari kita kekalkan begitu,” katanya.
Isu peralihan kuasa perdana menteri sentiasa menjadi perhatian apabila kedua-dua penyokong Dr Mahathir dan Anwar sering berbalas kenyataan berhubung tempoh peralihan kuasa.
Penyokong Dr Mahathir menegaskan tiada tempoh khusus ditetapkan sebelum menyerahkan kuasanya kepada Anwar.
Manakala penyokong Anwar pula bertegas bahawa peralihan kuasa harus berlaku dalam tempoh dua tahun selepas PH membentuk kerajaan persekutuan selepas pilihan raya umum ke-14 pada Mei tahun lalu.
Polemik semakin hangat apabila pada 29 September lalu, bekas timbalan presiden PKR Syed Husin Ali mengecam pemimpin PH yang menurutnya kini tidak lagi mampu berdepan dengan Dr Mahathir.
Syed Husin berkata demikian ketika sebagai mengulas kenyataan Mahathir pada sesi dialog anjuran Majlis Hubungan Luar di New York pada 26 September bahawa beliau mempunyai masa paling lama tiga tahun lagi untuk memegang jawatan itu.
Kata Syed Husin yang juga pegasas bersama PKR itu, jawatan perdana menteri perlu diserahkan kepada Anwar sekurang-kurangnya dua tahun sebelum PRU ke-15 bagi memberi ruang untuknya bersedia untuk berdepan dengannya.
Jika tidak, tambahnya, ia hanya akan “membunuh” PH.
Syed Husin turut mempersoalkan apakah pemimpin PH seperti Anwar, Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan Lim Kit Siang sudah “dibonsaikan” oleh Mahathir, dan membidas mereka sudah bertukar suara apabila hanya memuji dan mengampu “perdana menteri tua” itu.
Ketika diminta mengulas kenyataan Syed Husin itu, Dr Wan Azizah menyifatkan kenyataan veteran PKR itu sebagai pendapat peribadinya.
“Itu pendapat dia.
“Isu ini tak timbul kerana kita dah ada perjanjian. Dulu masa kita pergi ke PRU, kita katakan PM (Dr Mahathir) akan (memegang kuasa), dan PM yang susulan itu (ialah Anwar).
“Itulah yang dijanjikan,” kata Pengerusi Majlis Penasihat PKR itu lagi.
Dr Mahathir hari ini berkata adalah sukar untuk meletakkan tarikh yang tetap untuk berlakunya peralihan kepimpinan negara.
"Kita kena kaji keadaan. Dalam angka, tarikh yang spesifik...jika kerja separuh selesai or atau belum selesai, susahlah," katanya ketika ditanya jika ada tarikh yang tetap untuk melaksanakan peralihan kuasa supaya rakyat tidak terlalu bimbang mengenai perkara ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai