Skip to main
Logo Malaysiakini

Exco dari Amanah harap Kongres Maruah Melayu elak pemikiran ekstrem

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kongres Maruah Melayu (KKM) yang bakal diadakan esok diharapkan tidak terpesong daripada matlamat asalnya sehingga melahirkan golongan ektremis kaum dan agama, kata Exco Penerangan Perak, Hasnul Zukarnain Abd Munaim.

"Nasihat saya juga kepada pihak penganjur agar fabrik perpaduan yang wujud dalam negara ini jangan dirobek atas pentas KMM ini, kerana ia berpotensi untuk terbentuk pula selepas ini “Kongres Maruah Cina”, “Kongres Maruah India”, “Kongres Maruah Sarawak” dan lain-lain kongres seumpamanya.

"(Jika berlaku) ini adalah perkembangan yang tidak sihat kepada negara dalam usaha kita membentuk sebuah negara bangsa," katanya yang juga Adun Titi Serong dalam kenyataan.

Jelasnya, pihak penganjur perlu secara tegas memastikan kongres berjalan di atas landasan akademik, tidak melampaui batas, objektif dan matang supaya pengisian tidak menjurus kepada perasaan kekitaan yang melampau.

"Walaupun penggunaan perkataan ‘maruah’ itu agak tidak begitu cocok dengan ruas akademik dan dilihat ‘rebellious’, namun saya melihat pengisian yang bakal dihidangkan kepada hadirin adalah sesuatu yang lebih penting dalam kongres ini nanti."

"Meskipun kita maklum bahawa tema Melayu akan menjadi kata kunci penting dalam kongres ini, tetapi janganlah kongres ini nanti terpesong daripada matlamat asal sehingga terbentuk satu pemikiran ekstrem seterusnya melahirkan golongan ekstremis bangsa dan agama seperti yang pernah dititahkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Ogos lalu," katanya.

Hasnul yang juga bendahari Pemuda Amanah berkata beliau berharap kongres itu nanti benar-benar menjadi sebuah platform yang membawa imej Malaysia Baru dalam meraikan perbezaan pandangan serta meraikan kepelbagaian.

Beliau turut meminta Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang akan menyampaikan amanat dalam kongres itu nanti agar menyentuh permasalahan yang jelas di kalangan masyarakat Melayu dalam usaha membela maruah mereka.

Katanya isu-isu tersebut termasuk gejala rasuah, penagihan dadah, pengangguran, kadar penceraian yang tinggi dan lain-lain isu yang harus diberi perhatian segera.

Kongres yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam itu dianjurkan oleh empat universiti iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Penganjur kongres berkata program berkenaan akan membincangkan isu-isu melibatkan pendidikan, agama, budaya, politik dan ekonomi dari perspektif Melayu.