Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerajaan mungkin perkenal cukai baru, kata PM

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kerajaan mungkin memperkenalkan beberapa cukai baru yang lebih cekap bagi meningkatkan hasil pendapatan negara, kata Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Dr Mahathir memberi jaminan bahawa cukai baru yang akan diperkenalkan tidak akan membebankan rakyat.

"Sistem percukaian dulu kita tak kenakan dengan cara tertib dan tersusun, banyak orang terlepas daripada membayar cukai, kita akan perkemaskan lagi.

"Juga kita mungkin terpaksa kenalkan cukai baru yang tidak terlalu membebankan rakyat," katanya selepas majlis pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali dan Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin merangkap Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (Masa).

Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas inisiatif baru untuk meningkatkan hasil serta menambah baik pematuhan cukai, meningkatkan kecekapan cukai dan memperluas asas cukai yang terkandung dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Baru-baru ini terdapat cadangan daripada pakar ekonomi yang mahukan supaya Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula.

Dua hari lalu, Mahathir berkata, kerajaan akan mengkaji untuk melaksanakan semula GST jika itu yang dikehendaki rakyat.

"Kalau rakyat merasakan ia lebih baik kita akan mengkajinya.

"(Berkenaan) GST ini, kalau itu kehendak rakyat, kita akan kaji sama ada (ia) lebih baik daripada SST (cukai jualan dan perkhidmatan)," katanya ketika ditanya berkenaan cadangan oleh Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) agar cukai GST dengan kadar tiga peratus dimasukkan dalam Belanjawan 2020.

Bagaimanapun Mahathir tidak menjangka sebarang kajian atau perubahan akan dibuat melalui belanjawan kali ini yang dijadual dibentang di Dewan Rakyat pada 11 Oktober ini.

'Buktikan kebolehan sebelum dapatkan kontrak'

Sementara itu, Mahathir berkata pentadbirannya kini tidak seperti kerajaan dahulu yang memberi kontrak tanpa melihat kepada kemampuan sesebuah syarikat.

Jelasnya, kerajaan melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 hanya akan memberi peluang kepada mereka yang benar-benar layak untuk mendapatkan projek kerajaan.

"Bukan seperti dulu untuk bagi peluang, bagi kontrak, jual kontrak, bagi lesen jual lesen, bagi AP (permit kelulusan), jual AP, akhirnya mereka kekal miskin.

"Kali ini kalau ingin kontrak mesti buktikan kebolehan mereka, kalau tidak ada kewangan yang tinggi mereka boleh dapat pinjaman, tapi dalam masa itu kebolehan mereka akan dinilai sebelum kita beri kontrak, lesen AP dan sebagainya," tambah Mahathir.

Mahathir turut memaklumkan kerajaan tidak lagi mengamalkan pengagihan kontrak mengikut kaum dan pihak swasta juga perlu mengambil langkah sama.

Mengulas mengenai agenda Bumiputera melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Mahathir berkata tumpuan kepada Bumiputera paling besar kerana mereka paling ramai miskin.

"Ia adalah untuk semua rakyat, keutamaan diberikan kepada orang miskin yang tak dapat bahagian mereka dalam kekayaan negara.

"Tumpuan perlu diberi kepada mereka supaya dapat mengejar mereka yang sudah menjadi kaya," katanya.