Skip to main
Logo Malaysiakini

Hari ke-17: Jho Low arah semua emel, perbualan dipadam untuk lindungi 'boss' - Saksi

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan tuduhan salahguna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB memasuki hari ke-15 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.


4.32 petang - Perbicaraan pada hari ini ditangguhkan dan akan bersambung semula pada jam 9.30 pagi esok.


Jho Low arah semua emel, perbualan dipadam untuk lindungi 'boss' - Saksi

4.15 petang - Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah dia mendapat arahan daripada Jho Low untuk memadamkan emel dan perbualan Blackberry Messenger di antara mereka.

Keterangan ini sama dengan yang diberitahu kepada mahkamah oleh saksi sebelum ini Amhari Efendi Nazaruddin.

Amhari pernah menjadi pegawai khas kepada Najib Razak ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri dan perdana menteri..

Menurut Shahrol, Jho Low mengarahkannya bahawa mereka perlu memadam semua emel dan perbualan mereka kerana faktor serangan politik dan untuk melindungi "bos".

Walaupun saksi itu tidak menjelaskan siapa bos yang dimaksudkannya namun dipercayai Shahrol merujuk kepada Najib.

Shahrol juga memberi keterangan bahawa dia telah menerima dua peranti Blackberry daripada Jho Low, termasuk satu yang didermakan untuk cabutan bertuah pada salah satu majlis makan malam 1MDB.


Bekas CEO 1MDB nafi ada Pemilikan Bermanfaat

3.37 petang: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi menafikan mempunyai sebarang Pemilikan Bermanfaat (Beneficial Ownership) dalam syarikat-syarikat cengkerang (Shell Company).

Saksi ke-9 itu menafikan demikian ketika ditanya peguam utama Muhammad Shafee Abdullah sama ada dia disebut sebagai 1MDB Officer 2, yang didakwa mempunyai Pemilikan Bermanfaat dalam syarikat-syarikat cengkerang.

Shafee merujuk kepada dakwaan Tim Leissner apabila bekas pegawai bank Goldman Sachs itu mengaku bersalah terhadap tuduhan jenayah berkomplot untuk melakukan pengubahan wang haram dan melanggar Akta Amalan Rasuah Asing tahun lepas.

Shafee mendakwa dalam pengakuan bersalah itu, Leissner mendakwa menerima wang daripada ahli perniagaan dikehendaki Jho Low dan menyebabkan dana ini dipindahkan ke syarikat cengkerang milik 1MDB Officer 2, yang didakwa Shafee adalah Shahrol.

Shahrol: Saya tidak tahu.

Shafee: Ini adalah (tuduhan) Tim Leissner untuk meringankan hukuman (untuk hukuman yang lebih ringan daripada mahkamah Amerika Syarikat). Kamu perlu respons (sama ada kamu) Pemilik Bermanfaat, 1MDB Officer 2?

Shahrol: Saya tidak memiliki syarikat cengkerang yang mana saya adalah Pemilik Bermanfaatnya.


Pembangkang beri gambaran buruk imej 1MDB - Bekas CEO

3.10 petang: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB memberitahu mahkamah bahawa syarikat itu telah mengalami masalah dengan Tawaran Awam Permulaan (IPO) kerana "banyak perhatian negatif media" yang dicipta parti-parti pembangkang.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi dalam keterangannya bersetuju bahawa perhatian yang negatif menghalang IPO daripada berlaku.

Beliau berkata sekiranya IPO berlaku, keadaan 1MDB akan bertukar menjadi lebih baik.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Muhammad Shafee Abdullah, saksi itu berkata 1MDB akan dapat menjana dana yang mencukupi daripada apa yang digunakan untuk memperoleh IPP (penjana tenaga bebas), yang boleh digunakan untuk mengembangkan perniagaan tenaga.

"Jadi ia akan menjadi sesuatu dan kita tak akan ada isu-isu aliran tunai, Bandar Malaysia akan diteruskan, TRX akan tepat pada masa, ia sepatutnya pada 2017," kata Shahrol.

Menjawab soalan Shafee kemudiannya, Shahrol berkata sasaran awal yang boleh diperoleh 1MDB daripada IPO adalah "antara RM20 bilion dan RM25 bilion" modal pasaran.

Beliau menambah 1MDB hanya perlu diapungkan kira-kira satu pertiga daripada jumlah itu.

Shahrol berkata jumlah itu, bagaimanapun, adalah berdasarkan apa yang dikumpulkan apabila beliau meninggalkan 1MDB pada tahun 2013.

Saksi itu kemudian bersetuju dengan cadangan Shafee bahawa tanpa publisiti negatif pembangkang pada masa itu, rancangan IPO 1MDB akan berjaya dan tidak akan mengalami kegagalan seperti hari ini.


"Saya dari pasukan Najib, telah mainkan peranan'

2.59 petang: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini bahawa beliau adalah daripada pasukan Najib dan telah 'memainkan peranannya'.

Beliau menjawab soalan peguam utama Muhammad Shafee Abdullah semasa pemeriksaan balas.

Shahrol berkata semasa pendengaran Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen pada tahun 2015, beliau tidak dapat menjawab sepenuhnya kerana dicelah oleh panel yang bertanya soalan.

Shafee kemudian bertanya Shahrol mengapa saksi itu tidak berbuat apa-apa ketika dicelah oleh panel PAC yang diketuai Anggota Parlimen Rompin Hasan Arifin.

Shafee mengingatkan Shahrol bahawa PAC kemudian membuat kesimpulan bahawa saksi itu perlu disiasat kerana keputusan yang dibuat tanpa kebenaran lembaga 1MDB.

Shahrol: Saya dari pasukan Najib (Razak), saya mainkan peranan saya.

Shafee: Bagaimana kamu boleh menjadi ahli pasukan Najib sedangkan kamu dikecam?

Shahrol: Pada masa itu, saya percaya Najib dan sebelum semua perkara ini keluar, saya telah ditunjukkan aliran wang dan akaun, saya masih percaya dia (Najib) dan berlaku serangan politik terhadapnya. Saya percaya Najib dan pasukannya bahawa ini adalah serangan politik terhadap beliau dan saya yakin apa yang saya lakukan selaku Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB adalah mengikut kehendak Najib untuk kebaikan negara ini.

Shafee: Kamu percaya aspek ini seperti kkamu kata tadi bahawa kamu percaya Najib yang bermaksud apa yang telah dilakukan dalam 1MDB adalah betul?

Shahrol: Ya, betul untuk kebaikan negara.


2.38 petang: Prosiding disambung semula dengan pemeriksaan balas terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi diteruskan.


Bekas CEO 1MDB akui tak boleh salahkan Najib kerana ditipu oleh Jho Low

12.50 tengah hari: Shahrol Azral Ibrahim Halmi mengakui beliau tidak boleh menyalahkan Najib Abdul Razak kerana bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB itu ditipu oleh Jho Low.

Shahrol yang merupakan saksi kesembilan mengakui demikian ketika pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan yang diketuai peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah.

Shahrol berkata, dia mula ragu-ragu dengan Jho Low hanya pada sekitar 2015 dan tidak meragui ahli perniagaan yang dikehendaki itu pada tahun 2009.

Shafee: Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (TIA dan 1MDB), jika kamu mempunyai kepercayaan tersirat dan tersurat (terhadap Jho Low), adakah kamu akan salahkan anak guam saya, iaitu bekas perdana menteri (Najib). Kamu sendiri ditipu (oleh Jho Low).

Shahrol: Saya tidak akan salahkan dia (Najib).

Shafee: Kamu tidak boleh mengatakan dia (Najib) menjadi pelaku dalam konspirasi ini?

Shahrol: Bukan tempat saya untuk berkata apa-apa.

Pada masa ini, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah, menangguhkan prosiding untuk berhenti rehat pada waktu makan tengah hari.

Pemeriksaan balas terhadap Shahrol akan diteruskan pada pukul 2.30 petang.


2.40 tengah hari: Menurut bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dari pemerhatian singkat terhadap tingkah laku Jho Low di istana Tuanku Mizan Zainal Abidin pada tahun 2009, kedua-dua mereka sudah saling mengenali.

Shahrol menambah beliau melihat Jho Low adalah individu yang "mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong itu".

Saksi itu memberi keterangan demikian ketika peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah meminta beliau mengesahkan sekiranya Tuanku Mizan mengagumi Jho Low pada tahun 2009.

Shafee: Bolehkah kamu sahkan dari pemerhatian kamu, bahawa Yang di-Pertuan Agong (yang juga) Sultan Terengganu, sangat mengagumi Jho Low?

Shahrol: Ia pemerhatian yang sangat singkat daripada interaksi antara Jho dan Agong, yang hanya beberapa kali di istana (istana). Tetapi dari cara Jho di istana, saya dapat melihat sekurang-kurangnya mereka sudah biasa (antara satu sama lain) dan dia mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada masa itu.

Mahkamah juga diberitahu bahawa Jho Low mempunyai pengaruh untuk mendapatkan surat tawaran agar Shahrol menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) selepas ditemuramah pada Jumaat dalam bulan Mac 2009.


Saksi sahkan TIA ilham Tuanku Mizan, bukan Najib

12.30 tengah hari: Saksi Shahrol Azral Ibrahim Halmi bersetuju terhadap soalan yang dikemukakan oleh pihak pembelaan bahawa pelopor 1MDB iaitu Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) merupakan idea atau "bayi" bekas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Beliau juga bersetuju bahawa adalah salah untuk sesiapa sahaja mengatakan kewujudan TIA sebagai dana berdaulat Terengganu adalah idea Najib.


Najib tak terlibat pada peringkat awal Lembaga Pelaburan Terengganu: Saksi

12.18 tengah hari: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi bersetuju dengan pihak pembelaan bahawa bekas Perdana Menteri Najib Razak tidak terlibat pada peringkat awal Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang merupakan perintis 1MDB.

Saksi ke-9 itu sependapat dengan peguam utama Muhammad Shafee Abdullah semasa pemeriksaan balas sama ada Najib terlibat dalam peringkat awal TIA pada awal tahun 2009.

Shafee merujuk kepada waktu apabila firma perbankan antarabangsa Goldman Sachs kemudiannya merupakan perunding yang berpotensi untuk penubuhan TIA.

Shafee: Pada peringkat awal TIA, Najib tidak terlibat, dengan Goldman Sachs sudah ada di situ dengan firma perunding lain, dengan nasihat daripada Jho Low?

Shahrol: Ya.

Shafee: Jho Low berada di sana untuk memastikan nasihatnya diikuti. Kamu hadiri (mesyuarat berkaitan) dan kamu tahu di mana idea Jho Low. Jho Low menyokong pelantikan Goldman Sachs dan Jho Low meggesa untuk itu?

Shahrol: Ya


Goldman Sachs terlibat dalam TIA sejak awal: Shahrol

12.13 tengah hari: Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah bahawa firma perbankan dan pelaburan Goldman Sachs terlibat dengan 1MDB sejak hari-hari awal kewujudan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Shahrol, yang pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB dari tahun 2009 hingga 2013, berkata ini berdasarkan dokumen yang berkaitan dengan syarikat yang telah dikemukakan sebagai keterangan dalam mahkamah.

Ini termasuk Permintaan Cadangan (RFP) bertarikh 9 Mac 2009, yang menunjukkan bahawa TIA telah menerima cadangan daripada Goldman Sachs, JP Morgan dan Nomura.


Sekatan perjalanan untuk elak saya hilang - Shahrol

11.37 pagi: Sekatan perjalanan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi adalah untuk menghalang saksi utama daripada menghilangkan diri.

Saksi kesembilan pendakwaan itu memberitahu mahkamah semasa pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan yang diketuai peguam utama, Muhammad Shafee Abdullah.

Shahrolmenjawab soalan daripada Shafee mengapa saksi itu tidak bertanya pihak berkuasa mengenai sebab sekatan perjalanan yang dikenakan terhadapnya.

Shahrol berkata adalah jelas dalam fikirannya bahawa larangan perjalanan terhadapnya adalah berkaitan dengan siasatan 1MDB.

Katanya beliau membuat andaian ini kerana merupakan sebahagian daripada sekumpulan individu yang termasuk bekas pengarah 1MDB dan pengurusan kanan.

Shahrol: Ia untuk menghalang orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu daripada hilang.

Shafee: Mereka (pihak berkuasa) mahu halang kamu daripada hilang?

Shahrol: Ya.

Shafee: Kamu dianggap mempunyai risiko penerbangan?

Shahrol: Saya tidak tahu.

Shahrol, yang kini menganggur, bersetuju dengan Shafee bahawa larangan perjalanan itu menjadi beban ke atasnya kerana menjadikan beliau sukar mendapatkan pekerjaan baru.


10.36 pagi: Ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho menggangap bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi sebagai individu  yang bukan tukang sibuk (busybody).

Saksi ke-9 pendakwaan itu memberitahu demikian ketika disoal balas peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee bertanya Shahrol tentang perenggan kedua kenyataan saksi itu, di mana dia menyatakan bahawa "... Jho Low menilai watak dan (aspek) peribadi saya kerana hanya melaksanakan perintah pelanggan tanpa bertanya banyak soalan.

Perenggan itu adalah berkaitan di masa Shahrol, yang merupakan bekas pengarah urusan di Accenture, pertama kali bertemu Jho Low, pada tahun 2007.

Shahrol: Tujuan yang mahu sampaikan pada masa itu adalah Jho Low anggap saya sebagai seseorang yang... Saya sedang bergelut untuk mencari perkataan di sini ... perkataan yang datang dalam fikiran adalah "kepochi', busybody adalah lebih sesuai di sini.

Shafee: Dia (Jho Low) suka watak kamu hanya dengar arahan tanpa mengetahui perjalanan akhir?

Shahrol: Tidak juga. Saya hanya mengambil maklumat yang cukup untuk menyampaikan hasil seperti yang saya fahami. Apa-apa yang selain daripada hasil yang tidak berkaitan dengan tugas, saya minta orang saya percaya untuk lihat.


9.50 pagi: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di Amerika Syarikat pada tahun 1988 dengan melakukan pra-universiti di sebuah institusi di Los Angeles sebelum menyambung pengajian di Stanford University.

Shahrol memberitahu mahkamah bahawa beliau belajar dalam Kejuruteraan Elektrik, dan "hampir tidak berjaya" lulus lima tahun kemudian pada tahun 1994.

Menurut Shahrol, tempoh biasa untuk menyelesaikan ijazah pengajian itu adalah selama empat tahun.

Ketika disoal balas oleh pihak pembelaan, Shahrol berkata Universiti Stanford pada masa itu adalah tiga universiti terbaik dalam bidang kejuruteraan selepas MIT dan Cal Tech.

Saksi itu berkata selepas menamatkan pengajian di Stanford, beliau mendapat pekerjaan pertamanya di Andersen Consulting (kemudiannya Accenture).

Bermula di syarikat itu sebagai pelatih pada tahun 1995, Shahrol membina kerjaya untuk menjadi seorang penganalisis, pengurus, pengurus kanan, dan akhirnya seorang eksekutif dengan gaji hampir RM30,000 sebelum meletak jawatan pada tahun 2009.


Shahrol pelajar terbaik Maktab Tentera Diraja

9.45 pagi: Peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah memulakan pemeriksaan balas terhadap bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi mengenai latar belakang pendidikannya, termasuk prestasinya ketika menuntut di Maktab Tentera Diraja (RMC) di Sungai Besi.

Shahrol memberitahu mahkamah bahawa dia menghabiskan lima tahun belajar di RMC dari tahun 1983 hingga 1987.

Menurut Shahrol beliau memenangi Anugerah Pengarah Pengajian ketika tingkatan lima pada tahun 1987. 

Shahrol mengambil aliran sains ketika sekolah menengah.

Untuk rekod, anugerah Pengarah Pengajian adalah pengiktirafan untuk pelajar sekolah berkenaan atas pencapaian tertinggi akademik.

Saksi itu juga memberitahu mahkamah bahawa beliau memperoleh A1 dalam semua mata pelajaran SPM kecuali Bahasa Malaysia.

Apabila Shafee bertanya apa yang dia peroleh untuk subjek Bahasa Malaysia, saksi itu berkata: "Hanya cukup untuk masuk perkhidmatan awam, kredit 6."


9.38 pagi: Perbicaraan bermula dengan peguam utama Muhammad Shafee Abdullah memulakan pemeriksaan balas terhadap bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Najib dilihat duduk di kandang tertuduh apabila Shafee menyoal Shahrol yang merupakan saksi kesembilan pendakwaan.


Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berhubung dakwaan penyelewengan RM2.28 bilion wang 1MDB masuk hari ke-17 di hadapan hakim mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah pagi ini.

Hari ini merupakan hari pertama pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, yang merupakan saksi pendakwaan utama.

Minggu lalu, Shafee memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu untuk menyoal balas Shahrol, yang membacakan 270-halaman keterangan saksi dan telah menjalani pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, DPP Gopal Sri Ram.

Pada hari terakhir pemeriksaaan utama pada 1 Okt, Shahrol memberi keterangan bahawa Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah mengarahkan beliau dan penggantinya K Arul Kanda meninggalkan negara ini apabila Jawatankuasa Kira-kira Wang negara (PAC) mahu menyoal mereka selepas skandal 1MDB meletus pada tahun 2015.

Shahrol juga memberi keterangan lisan antara lain bahawa ahli perniagaan Low Taek Jho telah mengaturkan supaya beliau bertemu ahli-ahli BN dalam PAC, antaranya bekas anggota parlimen Kota Belud, Abdul Rahman Dahlan, sebelum ditanya mengenai dana syarikat pelaburan milik negara itu.