Skip to main
Logo Malaysiakini

Tarikh pendengaran kes ubah laporan audit 1MDB pada Nov kekal

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan tarikh pendengaran terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, K Arul Kanda berhubung dakwaan pengubahan laporan audit dana kekayaan berdaulat itu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan mengekalkan tarikh pendengaran dari 18 Nov hingga 29 Nov.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Al-Saifi Hashim sebelum itu memohon mengosongkan tarikh berkenaan kerana bertindih dengan perbicaraan terhadap Najib membabitkan dakwaan penyelewengan dana 1MDB yang sedang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Kami (pendakwaan) tidak mempunyai isu dengan tarikh pendengaran (dalam kes pengubahan laporan audit) pada 13 Jan hingga 17 tahun yang akan datang. Hanya 18-29 November tarikh bertembung dengan kes 1MDB," kata A-Saifi.

Bagaimanapun, Zaini tidak bersetuju dengan pihak pendakwaan dan mengatakan mahkamah tidak melihat isu pertembungan mengganggu perbicaraan dengan mana-mana kes-kes mahkamah yang sedang berlangsung melibatkan Najib.

"Setakat yang saya tahu tidak ada pertembungan dengan lain-lain tarikh (perbicaraan)," kata Zaini.

Sementara itu peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah bersetuju dengan keputusan hakim.

Shafee berkata tidak berlaku pertembungan walaupun 11 Nov ditetapkan untuk Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan sama ada Najib perlu membela diri terhadap tuduhan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

"Kami tidak kisah kes (pengubahan laporan audit 1MDB) bermula pada 18 Nov," kata Shafee sambil menambah pihak pembelaan masih boleh menanggung beban itu walaupun kini "bekerja di bawah tekanan".

Apabila Zaini bertanya kepada peguam Arul Kanda, M Sivananthan sama ada anak guamnya tidak mengapa dengan tarikh itu, peguam berkenaan menjawab pihaknya tidak mempunyai masalah.

"Pendakwaan, tidak ada masalah," kata Zaini yang memutuskan mahkamah akan mengekalkan tarikh perbicaraan itu pada November.

Al-Saifi kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka telah menyerahkan beberapa dokumen mahkamah kepada pihak pembelaan, dan hanya kenyataan saksi belum diserahkan.

Zaini kemudian menetapkan 16 Okt dan 12 Nov sebagai tarikh sebutan untuk membenarkan pihak-pihak terlibat memaklumkan kepada mahkamah sama ada pihak pendakwaan telah menyerahkan semua dokumen mahkamah yang diperlukan kepada pembelaan, yang merangkumi kenyataan saksi.

[Baca berita penuh]