Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas CEO SSM, anak mengaku tak salah atas pertuduhan rasuah

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Zahrah Abd. Wahab Fenner dan anak lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Ipoh, hari ini atas dua pertuduhan terima, bersubahat dan salah guna kuasa berjumlah RM250,000 tahun lalu.

Zahra, 60, dan anak lelakinya, Abdulazeez Wan Ruslan, 30, seorang ahli perniagaan membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim S.Indra Nehru.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Zahra didakwa bersubahat dalam perlakuan salah Abdulazeez menerima suapan daripada Samhan Adnan seorang pengarah syarikat berjumlah RM200,000 yang dikreditkan dalam akaun Maybank beliau di cawangan Menglembu pada 18 Mei 2018.

Wang tersebut sebagai upah terhadap Abdulazzez kerana memastikan Zahra selaku CEO SSM dan Ahli Jawatankuasa pelaburan SSM meluluskan Memo Dalaman Bahagian Kewangan dan Akaun, Seksyen Pelaburan dan Pengurusan Kewangan bertajuk Pemilikan Kepentingan Saham Keutamaan 'Preference Shareholder' kepada Syarikat Ace Holdings Berhad bertarikh 19 April 2018.

Kesalahan itu didakwa mengikut Subseksyen 28 (1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Subseksyen 16 (a)(A) dan Subseksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi kesalahan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Zahra didakwa bersubahat dalam perlakuan kesalahan Abdulazeez, yang telah menerima suapan berjumlah RM50,000 daripada Samhan yang dikreditkan ke dalam akaun Maybank miliknya pada 25 Mei 2018 di cawangan Menglembu.

Wang itu sebagai upah Abdulazeez kerana memastikan ibunya meluluskan Memo Dalaman Bahagian Kewangan dan Akaun, Seksyen Pelaburan dan Pengurusan Kewangan bertajuk Pemilikan Kepentingan Saham Keutamaan 'Preference Shareholder' Syarikat Ace Holdings Berhad bertarikh 19 April 2018.

Perbuatan itu didakwa mengikut Subseksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Subseksyen 16 (a)(A) dan Subseksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman sama.

Sementara itu, berdasarkan pertuduhan pertama, Abdulazeez didakwa menerima suapan berjumlah RM200,000 daripada Samhan secara deposit tunai ke akaun Maybank milikya di cawangan Menglembu di Ipoh pada 18 Mei 2018 kerana memastikan Zahra meluluskan Memo Dalaman Bahagian Kewangan dan Akaun, Seksyen Pelaburan dan Pengurusan Kewangan bertajuk Pemilikan Kepentingan Saham Keutamaan 'Preference Shareholder' Syarikat Ace Holdings Berhad bertarikh 19 April 2018.

Kesalahan itu didakwa mengikut Subseksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman sama.

Mengikut pertuduhan kedua pula, Abdulazeez didakwa menerima suapan RM50,000 daripada Samhan kerana memastikan ibunya meluluskan Memo Dalaman Bahagian Kewangan dan Akaun, Seksyen Pelaburan dan Pengurusan Kewangan bertajuk Pemilikan Kepentingan Saham Keutamaan 'Preference Shareholder' Syarikat Ace Holdings Berhad bertarikh 19 April 2018.

Wang tersebut diterima secara deposit tunai ke akaun Maybank milik Abdulaeez di cawangan Menglembu di sini pada 25 Mei 2018 dan Kesalahan itu didakwa mengikut Subseksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela Shahir Abdul Razak, Syaiful Nazrin Mohd Rahim, Mohd Faizal Mohd Aris dan Dorina Abdullah.

Hakim turut membenarkan permohonan Nurul Wahida supaya kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Jalan Duta agar dapat didengar bersama 37 lagi pertuduhan menerima suapan, menyalahgunakan kuasa dan bersubahat melibatkan Zahra dan Abdulazeez.

Berikutan kes itu dipindahkan, tiada sebarang wang jaminan dikenakan oleh mahkamah.

-Bernama