Skip to main
Logo Malaysiakini

Pope Francis hantar surat terima kasih pada sultan Johor

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima mengadap Duta Besar Vatican ke Malaysia, Archbishop Joseph Salvador Marino di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini.

Pada pertemuan itu, Archbishop Marino mempersembahkan surat penghargaan daripada Pope Francis kepada sultan Johor, menurut kenyataan di Facebook baginda.

Menurut Mexico, Sultan Ibrahim pada 22 September tahun lalu dilapor mengubah hukuman ke atas tiga beradik warga Mexico yang dijatuhi hukuman gantung kerana jenayah mengedar dadah.

Sultan Ibrahim mengubah hukuman mati ke atas banduan terbabit kepada hukuman penjara seumur hidup selepas bertahun-tahun dilobi oleh diplomat Mexico.

Simon, Luis Alfonso dan Jose Regino Gonzalez Villarreal ditangkap dalam serbuan di sebuah makmal methamphetamine di Johor pada Mac 2008.

Mereka mengaku tidak bersalah dan memberi alasan diupah untuk membersihkan bangunan berkenaan tanpa menyedari apa yang sedang berlaku di dalamnya.

Mahkamah Malaysia menjatuhkan hukuman mati kepada mereka pada Mei 2012. 

Sementara itu, kenyataan itu menyebut, surat penghargaan itu ditulis oleh Kardinal Pietro Parolin bagi pihak pope.

“Bagi pihak Yang Suci Pope Francis, saya menulis surat itu bagi menyatakan terima kasih atas bantuan dan belas ihsan membantu tiga rakyat Mexico yang dihukum mati.

“Yang Suci berdoa supaya belas kasihan ini akan menggalakkan semua orang memperbaharui komitmen mereka untuk membina dunia yang ditandai dengan kemaafan, keamanan dan semangat setiakawan persaudaraan,” katanya.