Idea ubah TIA jadi 1MDB tercetus di Abu Dhabi - Saksi
KES 1MDB NAJIB | Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini bahawa idea Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), yang dirubah menjadi 1Malaysia Development Berhad, dicetuskan di Abu Dhabi.
Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berkata ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low membawa Yang Di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke Abu Dhabi untuk menyaksikan bisnes Mubadala Development Company (Mubadala), dana kekayaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Shahrol Azral, 49, saksi kesembilan pendakwaan menyatakan hal ini semasa pemeriksaan balas boleh peguam Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-17 perbicaraan 1MDB bekas perdana menteri itu.
Muhammad Shafee: Idea Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) tercetus bila Jho Low membawa Sultan ke Abu Dhabi untuk menyaksikan cara bisnes Mubadala diuruskan?
Shahrol Azral: Betul
Muhammad Shafee: Najib tidak wujud dalam pandangan berhubung Mubadala, langsung tidak ada dalam pandangan?
Shahrol Azral: Tidak pada pengetahuan saya … sebab saya tidak tahu apa yang Jho Low mungkin telah cakap kepada Najib.
Ditanya jika saksi itu bersetuju bahawa Sultan tertarik dengan pengenalan tentang Mubadala oleh Jho Low, saksi menjawab “betul”.
Kepada soalan lain, Shahrol Azral berkata beliau mempercayai Jho Low dan pengarah eksekutif 1MDB Casey Tang dari 2009 hingga 2015 kerana tidak ada yang tidak masuk akal dalam tindak tanduk mereka (dalam 1MDB).
Terdahulu, ditanya tentang latar belakang pelajarannya, saksi itu berkata beliau belajar di Maktab Tentera Diraja (RMC) dari 1983 hingga 1987.
Beliau juga menyatakan beliau meraih kecemerlangan dan merangkul Anugerah Pengarah Pengajian bila menyelesaikan tingkatan lima pada 1987.
Najib, 66, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang melibatkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai