Skip to main
Logo Malaysiakini

Hari ke-18: 'Tak tahu pelanggan kedua bon adalah syarikat Jho Low'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

LANGSUNG | Perbicaraan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berhubung dakwaan penyelewengan RM2.28 bilion dana 1MDB memasuki hari ke-18 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Malaysiakini melaporkan perbicaraan ini secara langsung.


4.38 petang - Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah membenarkan penangguhan prosiding hari ini dan perbicaraan akan bersambung esok pagi.


Saya tak pernah lihat Jho Low tanda tangan sebarang dokumen - Shahrol

4.25 petang - Bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberi keterangan di mahkamah bahawa dia tidak pernah melihat Jho Low menandatangani sebarang dokumen di hadapannya sepanjang tahun-tahun yang mana mereka saling mengenali.

Sharol yang juga saksi ke-9 berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee menyoal Shahrol mengenai tanda tangan pada dokumen yang dikaitkan dengan Jho Low sebagai pemilik benefisial syarikat Good Star Limited.

Shafee: Tanda tangan siapa?

Shahrol: Saya tidak tahu.

Shafee: Sepanjang tahun kamu kenal Jho Low, kamu tidak boleh mengenal pasti tandatangannya. Mengapa?

Shahrol: Kerana saya tidak pernah melihat sebarang dokumen yang ditandatangani oleh dia (Low).


'Tak tahu pelanggan kedua bon adalah syarikat Jho Low'

4.10 petang - Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberi keterangan bahawa dia tidak pernah tahu syarikat Jho Low adalah pelanggan sekunder bon 1MDB pada tahun 2009.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB itu berkata, dia hanya tahu tentang perkara tersebut daripada laporan media dan ketika disoal oleh polis pada tahun lepas.

Shahrol memberi keterangan bahawa penyiasat polis menyoalnya jika dia tahu mengenai sebuah syarikat bernama Aktis Singapore Pvt Ltd, sebelum diberitahu bahawa benefisiariya ialah Low.

Berdasarkan pemeriksaan balas peguam bela Muhammad Shafee Abdullah terhadap Shahrol, Aktis Singapore telah menandatangani perjanjian dengan Ambank untuk menjadi pelanggan sekunder daripada Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) 1MDB pada 18 Mei 2009.

Syarikat itu melanggan sejumlah RM700 juta nilai nominal bon 1MDB melalui bank itu.

Sebelum ini telah dimaklumkan bahawa Ambank Group melalui AmInvestment Bank merupakan pelanggan utama bon 1MDB dengan nilai nominal sehingga RM5 bilion.

Shahrol bersetuju bahawa hal itu mengejutkannya apabila dia mengetahui syarikat Low telah melanggan bon tersebut.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan oleh Shafee bahawa Ambank sepatutnya mengetahui syarikat itu berkaitan Low.

Shafee: Low ialah pelanggan sekunder. Hal itu mengejutkan kamu?

Shahrol: Ya.

Shafee: Tanpa pengetahuan TIA, dia membuat banyak wang (keuntungan) secara ketara di depan mata TIA.

Shahrol: Sebenarnya di depan mata Ambank.

Shafee: Bukan Ambank. Ambank tahu ini. Tanpa pengetahuan TIA.

Shahrol: Oh ya.

Shafee: Ambank berkomplot pada dasarnya dengan Low. Tanpa TIA tahu hal ini.

Shahrol: Betul.


Keterangan saksi undang ketawa dari galeri awam

3.49 petang: Keterangan bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi bahawa beliau tidak tahu arah tuju soalan balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah mengundang ketawa orang ramai di galeri awam.

Kenyataan saksi ke-9 ltu timbul apabila Shafee menyoal saksi itu atas pelbagai aspek berhubung prosedur pengeluaran bon bernilai RM5 bilion untuk Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Shafee meminta jaminan Shahrol bahawa saksi itu memahami arah tuju soalan dengan jelas.

"Sebenarnya, saya tidak tahu ke mana kamu pergi," balas Shahrol hingga mengundang ketawa kecil daripada mereka yang hadir di mahkamah.


K'jaan pusat bertindak secara bertanggungjawab dalam beri jaminan kepada TIA

3.20 petang: Bekas CEO 1MDB bersetuju bahawa kerajaan persekutuan telah bertindak secara bertanggungjawab dalam memberikan jaminan bon kepada Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) sebanyak RM5 bilion pada tahun 2009.

Untuk makluman, TIA adalah pelopor kepada 1MDB, yang pada mulanya milik kerajaan negeri Terengganu sebelum diambil alih oleh Menteri Kewangan Diperbadankan.

Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberi keterangan itu berdasarkan surat yang menunjukkan kerajaan negeri bersetuju kepada syarat yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan sebelum memberikan jaminannya.

Antara syarat yang dipersetujui antara kerajaan negeri dan persekutuan adalah TIA tidak boleh meluluskan resolusi untuk penggulungan; kerajaan negeri memastikan TIA berada dalam keadaan kewangan yang tidak akan menjejaskan tanggungjawabnya di bawah Nota Jangka Pertengahan Islam; dan kerajaan negeri akan memaklumkan kepada kerajaan persekutuan sebarang keadaan yang disifatkan sebagai memudaratkan TIA.

Shafee: Kamu melihat dari syarat ini, kerajaan persekutuan telah bertindak secara sangat bertanggungjawab. Mereka mengatakan jika kamu mahu jaminan, kamu berikan pertimbangan ini

Shahrol: Ya

Shafee: Itu dipersetujui di antara kerajaan pusat dan negeri

Shahrol: Betul


Perbicaraan bersambung selepas waktu makan tengah hari

3.07 petang: Prosiding bersambung semula selepas waktu rehat tengah hari, dengan bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dilihat bersedia dalam kandang saksi untuk disoal balas oleh peguam utama Muhammad Shafee Abdullah.


12.41 tengah hari: Mahkamah berhenti rehat untuk waktu makan tengah hari.


Rekod tidak menunjukkan Najib mendapat manfaat dari terbitan bon bernilai RM5 bilion TIA: CEO bekas 1MDB

12.13 tengah hari: Bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi bersetuju dengan pihak pembelaan bahawa rekod tidak menunjukkan bekas Menteri Kewangan Najib Razak mendapat manfaat daripada jaminan kerajaan untuk terbitan bon bernilai RM5 bilion bagi Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Saksi ke-9 itu bersetuju dengan peguam utama Muhammad Shafee Abdullah semasa pemeriksaan balas berhubung memorandum Kementerian Kewangan yang mencadangkan jaminan kerajaan untuk terbitan bon pada tahun 2009.

Shafee menunjukkan Shahrol memorandum yang telah dibentangkan dan dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet pada tahun 2009.

Kabinet pada masa itu masih diketuai oleh bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi.

Shafee: Tidak ada manfaat peribadi kepada Najib sebagai Menteri Kewangan untuk melakukan memorandum bagi kabinet?

Shahrol: Berdasarkan rekod.


Saksi berseloroh akan lantik Shafee sebagai peguam jika tubuh syarikat

10.50 pagi: Mahkamah diberitahu bahawa lembaga pengarah 1MDB tidak mempunyai peguam selepas ditubuhkan pada tahun 2009.

Bekas CEO syarikat itu, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berkata kebanyakan ahli lembaga pengarah 1MDB datang daripada latar belakang perakaunan.

Beliau berkata satu-satunya peguam dalam lembaga itu adalah Christopher Lee, yang merupakan pengarah penganjur 1MDB.

Menurut Shahrol, Lee hanya berada dalam lembaga itu bagi tujuan penubuhan 1MDB sehingga pengarah "sebenar" dilantik.

Peguam itu secara rasmi meletak jawatan sebagai pengarah 1MDB pada 23 Mac 2009, pada hari yang sama Shahrol dan Ismee Ismail dilantik ke Lembaga Pengarah.

Shahrol berkata sejak itu mereka tidak pernah mempunyai peguam dalam lembaga pengarah tersebut.

Ketua peguam bela, Shafee Abdullah kemudian berkata ia merupakan idea yang tidak bagus apabila 1MDB tidak mempunyai seorang peguam dalam lembaga pengarahnya.

Berikutan itu Shahrol secara berseloroh berkata beliau akan melantik Shafee jika menubuhkan syarikat lain.

"Kami tubuh syarikat yang akan datang kami akan lantik kamu," katanya.


Jho Low 'berkira' guna kertas mahal untuk tulis surat kepada Najib

10.40 pagi: Mahkamah diberitahu bahawa ahli perniagaan yang dikehendaki Jho Low 'sangat berkira' dalam menggunakan kertas Conqueror untuk menulis surat kepada bekas perdana menteri Najib Razak pada tahun 2009.

Bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi mengesahkan perkara itu semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee merujuk kepada surat daripada Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) kepada Najib bertarikh 27 Mac 2009, untuk mendapatkan kelulusan bagi jaminan terbitan bon TIA berjumlah RM5 bilion.

"Dia (Low) sangat berkira menggunakan kertas Conqueror, benda yang mahal," kata Shahrol.


Jho Low cakap tentang pertarungan politik antara T'ganu, kerajaan persekutuan

10.10 pagi: Jho Low mendakwa seorang wakil Tuanku Mizan Zainal Abidin telah membangkitkan isu mengenai penglibatan beliau dalam Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) pada tahun 2009 berikutan pertarungan politik antara kerajaan negeri Terengganu dan kerajaan persekutuan, saksi memberitahu mahkamah.

Bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, itu merupakan alasan yang diberikan oleh Jho Low apabila ditanya mengenai perkara itu.

"Ia telah dijelaskan oleh Low pertarungan politik antara negeri dan persekutuan," kata Shahrol ketika memberi keterangan ketika disoal balas oleh peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah.

Dalam keterangan awalnya, Shahrol berkata wakil Sultan Terengganu, yang juga bekas Yang di-Pertuan Agong, telah mempersoalkan peranan Jho Low dalam TIA semasa mesyuarat syarikat itu pada bulan Jun 2009.

Untuk makluman, TIA merupakan perintis kepada 1MDB.


Bekas CEO 1MDB percaya Jho Low mungkin pilih beliau kerana kurang pengalaman dalam bidang kewangan

10 pagi: Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah bahawa beliau mungkin dipilih Jho Low menjadi CEO 1MDB kerana kekurangan pengalaman dalam hal-hal kewangan.

Shahrol, yang merupaka CEO 1MDB pertama dan berkhidmat sejak tahun 2009 hingga 2013, berkata beliau kini melihat perkara itu boleh menjadi kemungkinan.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan yang diketuai peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah.

Shafee: Sekarang kamu menjelaskan kepada kami bahawa kamu tidak mempunyai pengalaman dalam hal-hal kewangan, dan kamu kata demikian kepada Jho Low. Saya ingin tanya kepada kamu satu soalan yang sangat jujur. Adakah kamu fikir sebab mengapa Jho Low melantik kamu, supaya kamu boleh mendengar katanya?

Shahrol: Pada masa itu saya tidak berpendapat sedemikian.

Shafee: (Bagaimana) kini dengan pengalaman yang lalu itu?

Shahrol: Ada kemungkinan

Terdahulu, dalam keterangannya, Shahrol memberitahu mahkamah bahawa beliau menyatakan secara jelas kepada Jho Low bahawa beliau tidak mempunyai pengalaman dalam pengumpulan dana apabila Jho Low menawarkan jawatan itu.


'Saya tiada peluang maklumkan Agong yang saya tak layak jadi CEO TIA'

9.50 pagi: Shahrol Azral Ibrahim Halmi dalam keterangannya berkata beliau tidak mempunyai peluang memberitahu bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin bahawa beliau tidak layak menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), yang merupakan perintis kepada 1MDB.

Saksi ke-9 itu memberitahu peguam utama Muhammad Shafee Abdullah bahawa pelantikannya diputuskan orang atasan beliau, iaitu lembaga pengarah TIA serta kerajaan persekutuan dan negeri.

Shahrol berkata, beliau awal-awal lagi telah memberitahu ahli perniagaan Jho Low bahawa beliau tidak mempunyai pengalaman dalam pengurusan dana sebelum dibawa menghadap Agong pada tahun 2009.

Sebelum itu, Shahrol merupakanPengarah Urusan Accenture.

"Saya telah dipanggil ke Istana, saya duduk, diperkenalkan kepada Duli Yang Maha Mulia (Agong) dan diberikan tawaran itu.

"Jika saya tidak layak untuk aspek-aspek tertentu, orang-orang yang melantik saya sepatutnya tahu," kata Shahrol.

"Saya mempunyai peluang sifar (untuk beritahu Agong bahawa beliau tidak mempunyai pengalaman). Tuanku telah bertemu apabila saya dibawa masuk (Istana) oleh Jho Low.

"(Pengarah TIA) Azlan (Zainol) sudah ada. Saya diperkenalkan kepada Tuanku. Azlan berkata beberapa perkara," kata Shahrol.


9.38 pagi: Perbicaraan bermula. Bekas Perdana Menteri Najib Razak dilihat memasuki kandang tertuduh.


Pemeriksaan balas terhadap bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi oleh peguam utama Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah akan diteruskan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.

Shafee dijangka akan menyoal saksi utama itu atas setiap bahagian keterangannya yang disampaikan sepanjang enam hari pemeriksaan utama dijalankan timbalan pendakwaraya (DPP) Gopal Sri Ram.

Semalam Shahrol ketika disoal balas Shafee telah memberikan pelbagai keterangan lisan.

Antaranya, Jho Low menonjolkan dirinya sebagai 'low profile' berhubung penglibatannya dalam 1MDB bagi mengelakkan rasa iri hati  di kalangan ahli-ahli Umno terhadap pengaruh ahli perniagaan kontroversi itu dan akses kepada perdana menteri yang juga presiden Umno ketika itu, Najib.

Shahrol juga memberi keterangan antara lain bahawa kegagalan Tawaran Awam Permulaan (IPO) 1MDB pada tahun 2015 adalah disebabkan perhatian negatif media yang dibangkitkan pembangkang.

Beliau juga berkata perintis 1MDB, Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) pertama kali dicadangkan di Abu Dhabi, apabila Jho Low membawa Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk melihat dana kekayaan berdaulat Emiriah Arab Bersatu, Mubadala Development Company.