Skip to main
Logo Malaysiakini

Pasangan terbabit insiden dera anjing buat laporan polis

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Sepasang suami isteri hari ini membuat laporan polis kerana membantah langkah penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menangkap anjing baru-baru ini.

Menurut Koh Tat Meng, berlaku kekasaran berlaku ke atas dia dan isterinya semasa penangkapan dibuat, selain proses tersebut dilakukan tanpa mengikut protokol.

Koh ditemani peguam Lawyers For Animal Rights semasa membuat laporan tersebut di Balai Polis USJ petang tadi.

"Saya ada beritahu petugas itu, janganlah zalimi haiwan tersebut.

"Saya juga beritahu mereka, Nabi Muhammad SAW pun sayangkan binatang dan pengampun," kata Koh.

Bagaimanapun, katanya, dia ditengking dan dimarahi pegawai MPSJ setiap kali dia memberikan pujian kepada Islam dan Nabi Muhammad.

Dia memberitahu pujian yang diberikan kepada agama Islam seperti di dalam video itu bukanlah kali pertama dilakukanya.

Malah, katanya, sebelum ini dia juga ada memuji Islam dan mereka yang mengikuti perkembangannya di Facebook sedia maklum mengenai perkara itu.

Mahu tindakan undang-undang

Dalam laporan tersebut, Koh juga menafikan dia menghalang penguat kuasa terbabit melakukan kerja mereka pada hari tersebut.

"Yang saya cuba lakukan cuma ingin meleraikan anjing tersebut sebab tindakan MPSJ dibuat dengan kasar.

"Saya tidak menolak pegawai mahupun menghalang," katanya dalam laporan tersebut.

Bagaimanapun, pada hari yang sama, pasangan tersebut kemudian dibawa ke balai polis selepas didatangi oleh pegawai polis dan pegawai dari MPSJ di rumah mereka.

Kedua-duanya selepas itu ditahan kerana didakwa sengaja menghalang pegawai petugas awam melakukan kerja.

Menjelaskan perkata itu, Koh berkata, hanya cuba untuk meleraikan kerana risau tindakan pegawai itu akan menyebabkan kaki anjing tersebut patah.

Koh juga memberitahu dalam laporan tersebut bahawa dia tidak pasti sama ada anjing tersebut masih bernyawa atau tidak selepas dihumban ke dalam van penguat kuasa itu.

Sementara itu peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetaj Singh mahu pegawai yang terlibat dalam insiden itu dikenakan tindakan undang-undang.

Kata mereka, pegawai yang terlibat boleh didakwa dan disiasat di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 terutamanya di bawah Seksyen 29(1) (a) dan (f).

Kejadian keganasan dalam insiden itu pada semalam turut menarik perhatian Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang menzahirkan rasa kesal berhubung insiden tersebut.

"Saya amat kesal apabila diperlihatkan dengan satu klip video yang menunjukkan beberapa anggota MPSJ cuba menangkap seekor anjing terbiar secara ganas," kata baginda.

Baginda yang juga merupakan Penaung Diraja kempen Stray Free Selangor turut meluahkan rasa kecewa dan sedih dengan perkara itu.