Skip to main
Logo Malaysiakini

NGO dakwa imigresen batalkan permit tanpa sebab

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tindakan Jabatan Imigresen membatalkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan Visa Dengan Rujukan (VDR) lebih 75,000 pekerja asing di Malaysia sejak 2013 selepas levi dibayar disifatkan sebagai pelik oleh Persatuan Belia Sosial dan Wanita Maju.

Presidennya, M Suria, berkata pembatalan membabitkan pekerja asing di sektor pertanian, pembinaan dan restoran itu mengakibatkan hampir 500 syarikat menghadapi masalah kekurangan pekerja.

"Ini sangat pelik. Mereka membatalkan PLKS dan VDR selepas menerima bayaran levi untuk 2020. Lebih sedih, permit pekerja-pekerja asing yang ada di sini sejak 2013 juga dibatalkan.

"Oleh itu kami membangkitkan isu ini selepas hampir 250 syarikat menghubungi kami untuk membantu mereka mendapatkan penyelesaian," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Suria semua pekerja asing terbabit dibawa masuk ke Malaysia pada tahun 2013 dan 2014 selepas levi dibayar dan peraturan ditetapkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dipatuhi.

"Pada Ogos lalu, syarikat-syarikat ini membayar levi untuk tahun depan melalui sistem MyEG bagi memperbaharui PLKS.

"Bayarannya diterima dan permohonan meluluskan permit kerja diterima apabila imigresen memberi PLKS bagi tahun 2020.

"Namun, MyEG memberitahu kami semakan mereka mendapati kelulusan tersebut dibatalkan. Maknanya, kesemua pekerja asing itu merupakan pendatang asing tanpa izin (Pati) sejak 2013," katanya.

Dakwa arahan KDN

Justeru kata Suria, pihaknya hairan mengapa Jabatan Imigresen membatalkan PLKS mereka selepas enam tahun bekerja di Malaysia.

Dalam keadaan begitu, katanya, pekerja asing terbabit mungkin akan ditangkap jika ada operasi oleh polis atau Jabatan Iimigresen.

"Mereka juga tidak dapat dihantar pulang ke negara masing-masing kerana akan ditangkap di lapangan terbang," katanya.

Lebih sedih, kata Suria, bayaran levi bagi 2020 juga tidak dipulangkan.

Suria juga mendakwa masalah sebegitu pernah berlaku pada 2016 apabila hampir 17,000 pekerja asing menghadapi situasi sama.

"Ketika itu isu tersebut dibincangkan di parlimen, namun ia senyap begitu sahaja.

"Nampaknya, Jabatan Imigresen menjadikan pekerja asing terbabit sebagai Pati tanpa pengetahuan orang ramai," katanya.

Suria juga mendakwa usahanya menghubungi pegawai atasan Jabatan Imigresen gagal kerana "dihalang" beberapa pegawai bawahan di Putrajaya.

"Apabila kami ke Putrajaya, kami dihalang berjumpa pegawai atasan.

"Kami juga diberitahu tindakan pembatalan ini adalah hasil daripada arahan KDN namun pegawai KDN yang kami temui menyatakan tiada arahan tersebut dikeluarkan.

"Kami juga percaya Ketua Pengarah Jabatan Imigresen tidak dimaklumkan perkara ini kerana beliau baru dilantik pada awal tahun ini," katanya.

Sementar aitu Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata beliau bersedia berjumpa majikan-majikan yang terjejas dan meminta mereka membawa maklumat yang berkaitan.

"Imigresen sedia berjumpa dengan mereka yang membuat dakwaan ini," katanya.