‘Jho Low satu-satunya penghubung antara 1MDB, saya dan Najib’
KES 1MDB NAJIB l Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low merupakan satu-satunya penghubung antara ketua pegawai eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika itu dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.
Bekas CEO 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, bagaimanapun berkata Jho Low tidak mempunyai jawatan rasmi dalam 1MDB dan juga bukan penasihat khas syarikat.
Semasa perbicaraan sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa Jho Low merupakan penasihat Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), yang kemudiannya menjadi 1MDB pada September 2009.
Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, peguam yang mewakili Najib pada hari ke-19 perbicaraan bekas perdana menteri itu melibatkan dana 1MDB.
Muhammad Shafee: Apakah jawatan Jho Low dalam 1MDB?
Shahrol Azral: Dia tidak mempunyai jawatan rasmi di 1MDB.
Muhammad Shafee: Apakah jawatan tidak rasminya dalam 1MDB?
Shahrol Azral: Dia merupakan penghubung antara 1MDB, saya dan pemegang saham tunggal Datuk Seri Najib.
Muhammad Shafee: Ini yang Jho Low dakwa pada masa itu, yang dia adalah penghubung.
Semasa ditanya siapa pemegang saham tunggal 1MDB pada Oktober 2009, Shahrol Azral berkata adalah Menteri Kewangan Diperbadankan.
Najib, 66, yang juga bekas Menteri Kewangan, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan pertuduhan 21 pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai