Skip to main
Logo Malaysiakini

KJ kritik Kadir: Media perdana mula merosot ketika liputan kes liwat Anwar

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Penutupan operasi Utusan Malaysia menimbulkan perdebatan tentang pihak yang bertanggungjawab terhadap kemerosotan kepercayaan orang awam terhadap media arus perdana.

Selepas tokoh wartawan A Kadir Jasin menuding jari terhadap penasihat bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi, menantunya, Khairy Jamaluddin tampil membidas tuduhan itu.

Dalam satu kiriman di Instagram Story, bekas ketua Pemuda Umno itu yang juga mengetuai pasukan penasihat Abdullah, memetik liputan media yang menurutnya berat sebelah ketika tuduhan liwat pertama terhadap Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

"Kemerosotan media arus perdana bermula dengan liputan berat sebelah kes liwat pertama. Seseorang bernama A Kadir Jasin adalah editor NST ketika itu," katanya.

Bagaimanapun, liputan media arus perdana kes liwat kedua Anwar, yang bermula pada Ogos 2008 ketika Abdullah merupakan perdana menteri, tidak jauh beza.

Kadir, yang merupakan penasihat media dan komunikasi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, adalah editor News Straits Times Group dari 1988 hingga 2000.

Pada tahun 1998, Mahathir, telah memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri dan Anwar kemudian didakwa dengan kes liwat dan penyalahgunaan kuasa.

Anwar mendakwa kedua-dua dakwaan liwat pertama dan kedua itu direka oleh seteru politiknya.

Dalam tulisan di blog yang dimuatkan sebelum ini, Kadir berkata Abdullah dan penasihat Najib Razak telah masuk campur secara berlebihan dalam media arus perdana.

Beliau berkata salah satu kesilapan terbesar ialah menggunakan media arus perdana untuk menghakis legasi Mahathir dan mempromosikan Abdullah.

Kadir mendakwa tindakan mereka membawa kepada persepsi bahawa media arus perdana itu berat sebelah dan seterusnya menyebabkan kemerosotan jualan akhbar dan penurunan hasil pengiklanan.

Susulan itu, bekas menteri Zaid Ibrahim juga tidak bersetuju dengan Kadir, dengan berkata bahawa media arus perdana mula merosot pada era Mahathir.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan bahawa Utusan Group telah menghentikan operasi dan kakitangannya diberitahu untuk mengosongkan bangunan pada pukul 1 petang petang tadi.

[Baca berita asal]